ZII Jia sedar perlu mempamerkan prestasi terbaik untuk menundukkan Axelsen. FOTO BERNAMA
ZII Jia sedar perlu mempamerkan prestasi terbaik untuk menundukkan Axelsen. FOTO BERNAMA
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Status sebagai pasukan 'under dog' di Piala Thomas kali ini sedikit sebanyak mengurangkan tekanan buat barisan pemain apabila turun berdepan juara 2016, Denmark dalam aksi terakhir Kumpulan D, esok.

Di atas kertas, Denmark menjadi pasukan pilihan untuk bergelar juara kumpulan, namun Malaysia tetap mempunyai peluang menundukkan jaguh Eropah itu.

Pemain perseorangan pertama negara, Lee Zii Jia berkata, dengan status bukan pilihan itu, mungkin kejutan boleh berlaku dan dia sudah bersedia berdepan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen.

Menurutnya, biarpun aksi Axelsen tahun ini tidak menentu, namun bukan mudah untuk menundukkan bekas juara dunia itu.

Katanya, rekod pertemuan turut memihak kepada pemain Denmark itu apabila Axelsen menang lima daripada lapan pertemuan mereka sebelum ini dengan Zii Jia hanya menang tiga kali.

"Walaupun prestasinya agak turun naik tahun ini, dia bukan pemain yang mudah ditewaskan. Dia sangat bagus. Menang Olimpik, juara dunia dan pernah meraih Piala Thomas.

"Saya tetap percaya untuk menewaskan Axelsen, kita kena berada di tahap yang bagus," kata Zii Jia.

Tegas Zii Jia, pasukan negara mempunyai kelebihan terutama dalam acara beregu.

Katanya, aksi konsisten dua beregu negara iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta prestasi yang semakin meningkat Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani meletakkan pasukan negara kini berada di kedudukan terbaik.

"Kita ada kelebihan dalam beregu tapi pemain perseorangan juga kena berusaha.

"Leong (Jun Hao) sudah buktikan dia sudah bersedia apabila tewaskan Ng Ka Long, pemain yang menduduki ranking lebih tinggi daripadanya.

"Justin Ho kali pertama main di Piala Thomas dan saya lihat dia bermain ketika lawan Hong Kong, dia sangat bagus, jadi sebagai pasukan 'under dog' kita turun lawan saja kerana apa saja boleh berlaku," katanya.

Dua pasukan teratas kumpulan akan mara ke peringkat suku akhir bermula 2 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 2:07 PM