ANGGOTA bomba menangkap ular sawa sepanjang tujuh meter di Kampung Parit 10 Ban Kenal, Pasir Panjang. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba menangkap ular sawa sepanjang tujuh meter di Kampung Parit 10 Ban Kenal, Pasir Panjang. FOTO Ihsan JBPM
Amirul Aiman Hamsuddin

Sekinchan: Kebimbangan penduduk Kampung Parit 10 Ban Kenal, Pasir Panjang, di sini berhubung kehilangan haiwan ternakan mereka terjawab apabila seekor ular sawa bersaiz gergasi berjaya ditangkap.

Difahamkan reptilia sepanjang tujuh meter dan seberat lebih 100 kilogram itu ditemui dalam kawasan sawah padi berhampiran sebuah rumah penduduk kampung di sini malam kelmarin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.38 malam.

Katanya, sepasukan 11 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan dikejarkan ke tempat kejadian.

"Sebaik tiba, didapati ular sawa besar itu berada dalam kawasan sawah padi. Anggota bertugas kemudian menangkap reptilia itu menggunakan alat pengepit dan penjerut khas," katanya.

Morni berkata, ular itu berjaya ditangkap pihaknya dalam tempoh 20 minit.

Menurutnya, operasi itu berjalan lancar dan ular berkenaan kemudian dilepaskan ke habitat asal di hutan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2023 @ 12:22 PM