Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Kegiatan tiga beranak warga Singapura menanam pokok ganja serta mengedar ganja terbongkar selepas mereka ditahan polis dalam serbuan di sebuah banglo di Semenyih, 25 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, hasil maklumat diterima daripada orang awam dan risikan dilakukan pihaknya membuat serbuan di kediaman itu kira-kira jam 10 malam.

"Dalam serbuan itu, kami menemui lapan pokok serta 23 botol mengandungi daun kering dipercayai ganja dianggarkan bernilai RM19,000 bagi nilai pasaran tempatan atau RM54,000 bagi nilai pasaran antarabangsa.

"Selain itu, kami merampas peralatan digunakan untuk menanam dadah berkenaan seperti alat pengawal suhu, lampu haba, tabung oksigen dan penapis udara selain sebuah kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, hari ini.

Mohd Zaid berkata, siasatan awal mendapati tiga beranak berkenaan yang bekerja sebagai peniaga minyak wangi dipercayai membeli benih dadah itu dari laman sesawang beroperasi di Amerika Syarikat.

Zaid Hassan bersama pegawainya menunjukkan pokok ganja yang berjaya dirampas. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Zaid Hassan bersama pegawainya menunjukkan pokok ganja yang berjaya dirampas. FOTO HAZREEN MOHAMAD

"Kegiatan tiga suspek ini dipercayai aktif sejak empat bulan lalu dengan menjual dadah berkenaan bagi pasaran tempatan serta antarabangsa terutama negara Asia menerusi media sosial.

"Hasil ujian air kencing dilakukan mendapati seorang daripada tiga suspek berkenaan positif tetrahydrocannibol (THC) dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Menurutnya, semua suspek berkenaan direman selama lima hari bermula Sabtu lalu hingga 30 Jun ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6B akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 4:37 PM