Nurfarra Asyikin Nor Azmi,20, menunjukkan gambar ibunya,Norhashimah Abdul Majid,43, yang meninggal dunia semalam selepas kemalangan 30 April lalu. Foto Noorazura Abdul Rahman
Nurfarra Asyikin Nor Azmi,20, menunjukkan gambar ibunya,Norhashimah Abdul Majid,43, yang meninggal dunia semalam selepas kemalangan 30 April lalu. Foto Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman

Sik: Nasib lima beradik yang hilang tempat bergantung selepas kematian ibu mereka, kelmarin mendapat perhatian Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) yang akan membina rumah baharu buat mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Zakaria Othman berkata, pihaknya sedang berusaha membina rumah untuk lima beradik itu yang kini menumpang di rumah bapa saudara mereka di Kampung Pasir Puteh, Mukim Tualak, Padang Terap.

Katanya, pembinaan rumah baharu itu akan dilakukan segera dan mereka dijangka dapat berpindah pada awal September depan.

"Kita sudah bincang bersama lima beradik itu dan nenek mereka yang akan tinggal bersama buat sementara waktu sebelum berpindah ke rumah baharu disediakan LZNK dengan kos pembinaan RM45,000.

"Kita sudah menyelesaikan proses berkaitan status tanah semalam dan hari ini, kerja pembersihan tanah sedang dilakukan kontraktor yang dilantik.

"Insya-Allah dalam tempoh dua atau tiga hari lagi kerja pembinaan dapat dimulakan dan rumah baharu dijangka siap dalam tempoh lebih dua bulan," katanya.

Zakaria ditemui ketika mengiringi Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor melawat tapak Kompleks Pendidikan Asnaf Zakat Keha di Kampung Batu Seketol, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan portal Harian Metro semalam mengenai nasib Nurfarra Asyikin Nor Azmi, 20, yang menggalas tugas sebagai 'ibu' menjaga empat adiknya selepas ibunya, Norhashimah Abdul Majid, 43, meningal dunia, kelmarin.

Norhashimah yang juga ibu tunggal meninggal dunia selepas koma ketika dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar akibat kemalangan ketika dalam perjalanan pulang untuk berbuka puasa pada 30 April lalu.

Sejak setahun lalu, lima beradik itu menumpang di rumah bapa saudara mereka di Kampung Pasir Puteh, selepas terpaksa berpindah dari Pulau Pinang berikutan ibu bapa mereka berpisah.

Berikutan itu, Nurfarra Asyikin yang bertugas sebagai sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menjaga adiknya iaitu Mohd Hafiq Ridzuan, 18; Nur Anis Amira, 15; Nuraina Amalyna, 12, dan Nurshafinas Fareha, 4.

Zakaria berkata, pihaknya juga berbincang untuk menempatkan dua adik Nurfarra Asyikin di asrama sekolah pendidikan zakat bagi memastikan mereka tidak tercicir dalam pelajaran.

Selain itu, katanya LZNK turut akan menyelaraskan bantuan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berikutan ibu mereka sebelum ini adalah penerima bantuan wang bulanan JKM.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 5:23 PM