ZAKARIA (tengah) melihat proses pembayaran zakat secara pandu lalu bagi mencegah penularan wabak Covid-19  di perkarangan Menara Zakat Negeri Kedah. FOTO Amran Hamid
ZAKARIA (tengah) melihat proses pembayaran zakat secara pandu lalu bagi mencegah penularan wabak Covid-19 di perkarangan Menara Zakat Negeri Kedah. FOTO Amran Hamid
Noorazura Abdul Rahman

LEMBAGA Zakat Negeri Kedah (LZNK) mensasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM10 juta tahun ini selepas menetapkan empat kadar bayaran susulan penularan wabak Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Zakaria Othman, berkata pihaknya tidak mensasarkan kutipan terlalu tinggi, walaupun berjaya mencapai kutipan RM10.2 juta tahun lalu.

Katanya, sasaran itu mengambil kira kesan pendapatan orang ramai yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Walaupun zakat fitrah tahun ini ditetapkan pada kadar RM5, RM7, RM14 dan RM21, orang ramai didapati mula membayar lebih awal melalui aplikasi dalam talian yang disediakan LZNK.

"Tahun lalu kutipan dicatatkan pada awal lima Ramadan adalah RM8,260, namun jumlah kutipan zakat fitrah sehingga hari ini sudah melebihi RM220,000 dan ini satu perubahan yang baik," katanya pada sidang media di Menara Zakat di Alor Setar, hari ini.

Terdahulu Zakaria melancarkan kaunter pandu lalu zakat fitrah di perkarangan Menara Zakat yang dibuka setiap hari bermula 9 pagi hingga 1 tengah hari bermula semalam.

Zakaria berkata, orang ramai juga boleh membuat bayaran zakat fitrah melalui 3,007 amil yang dilantik mengikut kariah masing-masing bermula 10 Ramadan atau 3 Mei ini.

Katanya, kutipan zakat boleh dilakukan di perkarangan masjid, namun ia dihadkan bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari sahaja serta perlu mengikut langkah penjarakan sosial dan prosedur ditetapkan kerajaan.

"Amil juga dilarang membuka kaunter di tempat awam seperti di pasaraya atau di bangunan yang boleh menyebabkan berlakunya perhimpunan selain amil dilarang berjabat tangan dan hanya boleh melafaz doa sahaja.

"Bagaimanapun kita memberi sedikit kelonggaran kepada amil mengutip zakat fitrah di perkarangan rumah mereka sendiri sekiranya terletak di lokasi bersesuaian," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 4:35 PM