KAKITANGAN LZNK menyantuni Rokhimah di rumahnya di Lorong Ayer Putih. FOTO ihsan LZNK
KAKITANGAN LZNK menyantuni Rokhimah di rumahnya di Lorong Ayer Putih. FOTO ihsan LZNK
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menafikan mereka tidak mengambil peduli nasib warga emas, Rokhimah Ismail, 67, yang tinggal di rumah daif di Lorong Ayer Putih, Jalan Pegawai, di sini, seperti yang ditularkan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zakaria Othman berkata, sebaliknya wanita yang tidak pernah berkahwin itu adalah penerima bantuan bulanan RM200 sejak 2018 dan pernah menolak tawaran tinggal di pondok pengajian seliaan LZNK yang lengkap dengan kemudahan asas.

Katanya, ramai netizen mengecam dengan kata-kata kesat terhadap agensi bantuan negeri terutamanya LZNK seolah-olah mereka tidak pernah ada usaha mengagihkan bantuan zakat dengan telus dan amanah.

"Wanita ini adalah penerima bantuan kewangan LZNK secara bulanan sebanyak RM200 bermula pada 2018 sehingga 2020 selain pernah menerima bantuan kewangan zakat sekali gus berjumlah RM300 pada Disember tahun lalu.

"Rokhimah juga menerima bantuan bank makanan LZNK melalui Penolong Amil dan Imam Kariah Masjid bagi meringankan bebannya selain menerima Bantuan Warga Emas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah sebanyak RM500 sebulan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Zakaria berkata, hasil siasatan juga mendapati wanita itu dan keluarga mempunyai tanah sawah yang diberi sewa sebanyak RM1,700 dan dibayar secara giliran kepada enam adik-beradik lain.

Katanya, anggaran nilai hartanah didiami Rhokimah bersama enam rumah miliknya dan ahli keluarga saja sebenarnya mencecah RM1.7 juta.

"Rokhimah sebenarnya sebelum ini tinggal dengan saudara yang memiliki beberapa rumah lain milik keluarga yang cukup dengan kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air serta terletak berhampiran kediaman wanita ini.

"Ada di antara rumah itu masih tidak berpenghuni dan mempunyai kelengkapan air dan elektrik, namun warga emas berkenaan mengambil keputusan untuk tinggal di rumah daif itu walaupun sudah dipujuk ahli keluarga berkali-kali," katanya.

Bagaimanapun, Zakaria memberitahu Rokhimah akhirnya bersetuju berpindah ke rumah berhampiran milik ahli keluarganya hasil perbincangan semula LZNK dengan ahli keluarganya kelmarin.

"Dalam kita ghairah memberi komen, cacian dan cercaan kepada semua pihak, alangkah baiknya sekiranya kita menahan jari jemari kita dengan menyiasat dan bertabayyun terlebih dulu daripada pihak-pihak yang terbabit," katanya

Sebelum ini, media melaporkan Rokhimah terpaksa mendiami rumah pusaka yang daif dan hanya menunggu masa untuk menyembah bumi menyebabkan ramai pihak tampil membantunya.

Berita berkaitan

'Sering jatuh akibat terpijak lantai reput'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 8:10 PM