Pegawai Pertahanan Awam Pendang, Leftenan (PA) Shafaril Ismail (kiri) menyampaikan sumbangan motorsikal kepada Nurfarra Asyikin Nor Azmi,20.sambil disaksikan oleh Ketua Persuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab. Foto Noorazura Abdul Rahman
Pegawai Pertahanan Awam Pendang, Leftenan (PA) Shafaril Ismail (kiri) menyampaikan sumbangan motorsikal kepada Nurfarra Asyikin Nor Azmi,20.sambil disaksikan oleh Ketua Persuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab. Foto Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Padang Terap: "Alhamdulillah, bantuan motosikal ini akan diguna bagi melakukan aktiviti harian dan keluar bekerja untuk menyara empat adik," kata Nurfarra Asyikin Nor Azmi, 20.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, dia sangat memerlukan kenderaan itu seleaps motosikal arwah ibunya, Norhashimah Abdul Majid, 43, rosak teruk selepas terbabit dalam kemalangan, April lalu.

Katanya, sejak itu mereka tiada kenderaan dan terpaksa meminjam motosikal daripada saudara terdekat untuk keluar bekerja atau membeli barang keperluan harian.

"Selepas motosikal ibu rosak, kami sekeluarga seperti 'patah kaki' kerana tidak dapat pergi ke mana. Saya terpaksa pinjam motosikal saudara untuk keluar bekerja dan membeli barang keperluan.

"Sampai bila saya terpaksa meminjam motosikal orang kerana mereka juga ada aktiviti harian, malah saya sudah malu hendak pinjam. Hendak beli motosikal baharu saya memang tidak mampu," katanya.

Nurfarra Asyikin berkata demikian selepas menerima sumbangan motosikal daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Penyerahan motosikal Honda Wave berkenaan disampaikan Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Roslan Wahab di Pejabat APM Padang Terap, di sini, semalam.

Sementara itu, Roslan berkata, pihaknya amat bersimpati dengan nasib lima beradik berkenaan apabila terpaksa hidup berdikari selepas kehilangan ibu mereka.

"Motosikal ini adalah sumbangan kumpulan Pegawai Kehormat Bersekutu APM yang bersimpati dengan nasib menimpa keluarga Nurfarra, dan kita juga akan membantu adiknya Mohd Afiq Ridzuan, 18, belajar di pusat kemahiran terdekat demi masa hadapannya," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan mengenai nasib Nurfarra Asyikin yang menggalas tugas sebagai 'ibu' bagi menjaga empat adiknya selepas ibu mereka meninggal dunia, 24 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 6:04 PM