Syeikh Fadzil Awang (dua dari kanan) ketika merasmikan Majlis Pecah Tapak Pondok Warga Emas Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Kompleks Pendidikan Islam Darul Hidayah, di sini, hari ini. FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN
Syeikh Fadzil Awang (dua dari kanan) ketika merasmikan Majlis Pecah Tapak Pondok Warga Emas Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Kompleks Pendidikan Islam Darul Hidayah, di sini, hari ini. FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) memperuntukkan RM700,000 bagi membina bangunan berkonsepkan pondok untuk warga emas fakir dan miskin mendalami ilmu agama.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman berkata, pondok itu akan dibina di tanah wakaf Kompleks Pendidikan Islam Darul Hidayah, Kampung Sungai Mati di Mukim Lepai, di sini, dalam masa terdekat.

Beliau berkata, pondok itu bakal menjadi pondok warga emas keempat di negeri ini yang dikelolakan LZNK.

"Pondok ini mempunyai 15 rumah untuk 30 warga emas dan perbelanjaan RM700,000 itu turut merangkumi pembinaan sebuah jambatan bagi menghubungkan rumah dengan kompleks pengajian Islam ini demi kemudahan warga emas di sini kelak.

"Apabila siap nanti, kita akan menempatkan warga emas sebatang kara atau datang dari keluarga miskin untuk menghabiskan sisa-sisa hidup mereka dengan mendalami ilmu agama di sini.

"Segala keperluan mereka akan ditanggung LZNK asalkan mereka mahu belajar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pecah tanah pondok warga emas itu, di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang di tanah wakaf terletak bersebelahan kompleks berkenaan.

Turut hadir, Ketua Bahagian Wakaf, Majlis Agama Islam Negeri Kedah, Syeikh Fakhrurrazi Yub serta Mudir Kompleks Pendidikan Islam Darul Hidayah, Johari Morad.

Zakaria berkata, tiga pondok warga emas dibangunkan LZNK sebelum ini bertempat di Pondok Jeneri, Sik (Tuan Guru Haji Zakaria), Pondok Lanai, Baling (Tuan Guru Omar Zuhdi) dan Pondok Hutan Palas, Kodiang (bekas mufti Kedah Datuk Muhammad Baderudin Ahmad).

"Untuk penempatan warga emas yang keempat ini, kita menjangkakan kemasukannya bermula Januari 2023.

Pemilihan Kompleks Pendidikan Islam Darul Hidayah ini dibuat berikutan fasiliti lengkap di sini untuk warga emas.

"Konsepnya mudah iaitu kompleks ini hanya menyediakan tapak manakala segala perbelanjaan akan ditanggung LZNK," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 3:44 PM