NURFARRA Asyikin menunjukkan gambar ibunya ,Norhashimah Abdul Majid,43, yang meninggal dunia semalam selepas kemalangan 30 April lalu. FOTO Noorazura Abdul Rahman
NURFARRA Asyikin menunjukkan gambar ibunya ,Norhashimah Abdul Majid,43, yang meninggal dunia semalam selepas kemalangan 30 April lalu. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Padang Terap: "Saya akan menggalas tugas sebagai ibu untuk menjaga adik-adik dengan sebaik mungkin, biarlah susah senang kami bersama," kata Nurfarra Asyikin Nor Azmi, 20.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, kematian ibunya, Norhashimah Abdul Majid, 43, semalam, memberi tamparan hebat kepada mereka yang kini hilang tempat bergantung.

Katanya, sebelum ini dia sering berdoa agar ibunya kembali pulih selepas koma akibat kemalangan ketika dalam perjalanan pulang untuk berbuka puasa di rumah pada 30 April lalu,

"Ibu bekerja sebagai tukang masak di sebuah kedai makan di Kuala Nerang dengan pendapatan RM70 sehari untuk menyara kami sekeluarga.

"Namun ketika dalam perjalanan pulang menungggang motosikal, dia terbabit kemalangan sehingga koma dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

"Saya sering berdoa ibu kembali pulih seperti sedia kala, namun apa daya Allah lebih sayangkannya dan kami reda dengan pemergian ibu,," katanya ketika ditemui di Kampung Pasir Puteh, Mukim Tualak, di sini, hari ini.

Nurfarra Asyikin berkata, dia perlu kuat untuk memberi semangat kepada adik-adiknya iaitu Mohd Hafiq Ridzuan, 18; Nur Anis Amira, 15; Nuraina Amalyna, 12, dan Nurshafinas Fareha, 4, yang masih terkejut.

Katanya, ketika ini mereka lima beradik terpaksa tinggal bersama bapa saudara yang hanya bekerja kampung dan berpendapatan tidak menentu.

"Sebelum ini, kami tinggal di Pulau Pinang, tetapi berpindah ke rumah bapa saudara pada tahun lalu selepas ibu dan bapa berpisah.

"Saya kini bertugas sebagai anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan pendapatan kira-kira RM700 sebulan.

"Jika boleh kami mahu menyewa rumah sendiri, tetapi saya tidak mampu kerana perlu menanggung persekolahan dua adik selain adik bongsu masih kecil dan menyusu," katanya.

Nurfarra Asyikin berkata, keluarganya ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM500 sebulan selain Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) juga turut berkunjung ke rumahnya untuk mempertimbang bentuk bantuan.

Sementara itu, nasib yang menimpa Nurfarra Asyikin sekeluarga turut mendapat perhatian Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab yang turut menyerahkan sumbangan barangan keperluan dan wang tunai.

Katanya, Nurfarra Asyikin baru bertugas bersama agensi berkenaan sejak awal Januari lalu.

"Untuk jangka masa panjang, kita akan bantu Nurfarra dan Mohd Hafiq mendapatkan kemahiran dengan menyertai APM. Pada hujung minggu dia boleh bertugas di agensi ini dan mendapat elaun sukarelawan.

"Kita juga akan kumpul dana bagi membeli motosikal bagi memudahkan Nurfarra melakukan aktiviti harian selain membantu dia bertugas lebih kerap agar mampu mendapat pendapatan lebih RM1,000 sebulan,".

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 4:43 PM