KAWASAN dilanda banjir di Rantau Panjang berikutan limpahan Sungai Golok. FOTO Fathil Asri
KAWASAN dilanda banjir di Rantau Panjang berikutan limpahan Sungai Golok. FOTO Fathil Asri
BERNAMA

LEMBAGA Zakat Negeri Kedah (LZNK) sedia membantu mangsa banjir di Kelantan dalam usaha meringankan beban yang ditanggung mereka akibat musibah itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syeikh Zakaria Othman berkata bantuan adalah sepertimana yang dilaksanakan oleh Pusat Pungutan Zakat Negeri Kelantan sebelum ini bersama Sekretariat Pengurusan Zakat Se-Malaysia, yang berkolaborasi dalam membantu mangsa banjir di Kedah dan Pulau Pinang.

“Kita telah pun berurusan dengan Pusat Pungutan Zakat Kelantan sebab baru-baru ini banjir di Kedah mereka juga turut menyumbang, dan kita pun sedang melihat sejauh mana bantuan yang boleh disalurkan,” katanya kepada pemberita pada Program Jelajah Asnaf Bersama Syarikat Korporat Sempena Sambutan 350 Tahun Seruan Zakat Kedah di Masjid Kampung Kubang Jawi di Alor Setar, hari ini.

Zakaria berkata, kesediaan LZNK ini juga bergantung kepada kesediaan sekretariat berkenaan untuk turun bersama-sama membantu mangsa banijr di negeri itu.

“Kita ada satu sekretariat antara semua pusat zakat di Malaysia ini. Kalau sekretariat kita itu ‘tekan butang’ saja kita akan turun bersama... buat masa ini kita masing-masing sedang memantau dulu, bagaimanapun bekalan keperluan makanan mencukupi jika hendak disalurkan,” katanya.

Mengulas mengenai program jelajah asnaf tersebut, Zakaria berkata LZNK mengambil pendekatan untuk membawa wakil daripada syarikat korporat bagi melihat sendiri bagaimana agihan zakat dibuat.

“Jika dulu, pegawai kita yang turun cari dan sampaikan zakat kepada asnaf-asnaf yang dikenal pasti dan ada kalanya timbul persoalan daripada orang ramai, tetapi kali ini tidak lagi apabila mereka iaitu pembayar zakat boleh ikut serta dan menyelami sendiri keadaan asnaf yang dilawati,” katanya.

Antara yang turut serta ialah Pengarah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) negeri, Mohd Noor Ab Rahman; wakil daripada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA); Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Zakaria berkata, buat permulaan sembilan keluarga dikenal pasti bagi tahun ini dan tahun hadapan, LZNK menyasarkan 40 keluarga di Sik dan Baling.

“Dalam berkonvoi ini, kita nak ketengahkan bahawa berzakat adalah wajib bagi orang beragama Islam dan bayaran adalahkepada ulul amri atau pihak pemerintah untuk membolehkan agihan zakat dibuat secara saksama, adil serta tersusun,” katanya.

Mohd Noor berkata, pendekatan yang diambil LZNK ini memberi peluang kepada pembayar zakat untuk melihat sendiri agihan zakat yang diberikan kepada golongan asnaf yang sebelum ini tidak diambil peduli.

“Saya berpuas hati dengan jelajah ini, saya harap ia menjadi contoh kepada pusat zakat negeri lain yang membuktikan ketelusan LZNK dalam urusan pengagihan zakat yang diamanahkan daripada pembayar,” katanya yang berharap program seumpama ini diteruskan dan melibatkan lebih banyak pihak.

Berita berkaitan:

Dengus banjir

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 4:33 PM