NURFARAHIN bersama barangan kiriman pelanggannya yang dibeli ketika jualan barangan permainan baru-baru ini. Nur Farahin turut dibantu suami dan keluarga dalam menguruskan tempahan yang banyak dan berat untuk dipos atau dihantar kepada pelanggan. FOTO Bernama
NURFARAHIN bersama barangan kiriman pelanggannya yang dibeli ketika jualan barangan permainan baru-baru ini. Nur Farahin turut dibantu suami dan keluarga dalam menguruskan tempahan yang banyak dan berat untuk dipos atau dihantar kepada pelanggan. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Membeli-belah biasanya, suatu aktiviti yang cukup digemari terutama dalam kalangan kaum wanita, namun hakikatnya tidak semua yang mempunyai masa, memandu jauh, atau sanggup beratur panjang untuk memasuki pasar raya, dan pandai memilih produk berkualiti dengan harga terbaik.

Lantaran itu, ada yang lebih selesa mengupah 'pembeli-belah peribadi' atau lebih dikenali sebagai personal shopper (PS) untuk mendapatkan pelbagai barangan seperti keperluan harian, kosmetik dan pakaian, termasuk perabot rumah.

Bagi pembeli-belah peribadi Nurfarahin Rosli, 28, beliau tidak menyangka hobi tinjau kedai (window shopping) dan suka berkongsi berkenaan jualan murah akhirnya mendorong beliau kepada kerjaya sebagai seorang PS secara sepenuh masa.

"Saya seorang yang cerewet dan suka 'survey' (tinjau) and 'hunt' (cari) barangan berjenama dan berkualiti seperti beg tangan, pakaian, aksesori wanita dengan harga berpatutan selain suka membaca dan melihat produk yang terbaharu di pasaran.

"Ia membuatkan ramai meminta pertolongan saya untuk mendapatkan sesuatu barangan berjenama dengan harga murah kerana sebagai PS, kami lebih peka bila barang itu dijual pada harga promosi," katanya yang pernah menjana pendapatan sehingga lima angka sebelum Sekatan Pergerakan Penuh dilaksanakan 1 Jun lepas.

Berkongsi berkenaan cabaran, bekas penerbit di sebuah stesen televisyen berkata, kerjaya itu mungkin kelihatan seronok pada kaca mata sesetengah orang, namun sebenarnya sebagai 'tukang beli,' mereka memerlukan ketahanan mental dan fizikal serta kesabaran yang tinggi untuk melayan 1001 macam karenah pelanggan.

Katanya sebagai seorang PS, mereka juga perlu bijak mengurus tempahan yang banyak bagi mengelakkan kesilapan baik dari segi saiz atau fesyen, sehingga kadangkala terpaksa berulang-alik dari satu pusat beli-belah ke pusat beli-belah lain semata-mata mahu mendapatkan barangan yang tepat.

Beliau juga mengakui permintaan terhadap khidmat PS ketika musim pandemik meningkat dua kali ganda kerana ramai yang mematuhi arahan duduk di rumah dan masih berkurung.

Malah, katanya, terdapat juga pelanggan yang membuat permintaan khas untuk membeli hadiah bagi insan tersayang kerana tidak boleh merentas negeri.

MAIZA sibuk memilih barangan yang ditempah oleh pelanggannya di sebuah gedung perabot. FOTO Bernama
MAIZA sibuk memilih barangan yang ditempah oleh pelanggannya di sebuah gedung perabot. FOTO Bernama

Sementara itu seorang lagi PS, Maiza Hassan Basri, 34, berkata, beliau mula menceburi kerjaya itu secara sepenuh masa sejak 2015, untuk pembelian barangan perabot dan aksesori rumah dan ia menjana pendapatan sehingga empat angka sebulan sebelum ini.

Sebut apa sahaja jenis perabot, daripada sebesar-besar katil dan sofa sehinggalah yang sekecil-kecil pinggan mangkuk, Maiza bersedia menjadi 'tukang beli' dengan mendapatkannya di sebuah gedung perabot jenama terkemuka dari Sweden.

Barangan itu, kemudiannya akan dihantar ke rumah pelanggan dengan bayaran upah bermula serendah RM5 mengikut tempahan dan jarak rumah pelanggan.

"Seronok buat perkhidmatan PS ni kerana saya suka membeli-belah dan minat dengan perabot jenama ini. Selain itu, gedung ini antara tempat hilangkan tekanan sebagai suri rumah selepas penat melayan karenah anak di rumah

"Kiranya gedung itu tempat saya menikmati me time (waktu bersendiri) dalam masa sama mencari duit poket sendiri," katanya yang merupakan bekas eksekutif bank.

Menurutnya walaupun kadangkala terpaksa beratur panjang dan mula menunggu di luar pusat beli-belah seawal 8 pagi ketika jualan murah, selain perlu berulang-alik untuk mendapatkan stok yang dikehendaki pelanggan, namun penat-lelah itu berbaloi dengan pendapatan yang diperoleh.

"Alhamdulillah, semakin ramai yang tempah dan menggunakan perkhidmatan saya pada musim Covid-19 ini, pendapatan juga meningkat, mungkin kerana mereka lebih suka dan selamat duduk di rumah," katanya yang mengamalkan pemakaian pelitup muka dua lapis, selain mengehadkan masa di gedung untuk mengelak jangkitan.

Bagaimanapun sejak kerajaan mengenakan Sekatan Pergerakan Penuh pada 1 Jun lepas, beliau tidak menafikan pendapatannya agak terjejas berikutan gedung berkenaan terpaksa ditutup sementara dan jualan barangan hanya boleh dilakukan secara dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 2:40 PM