GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 89 peratus daripada mereka yang menyertai kajian Asia Tenggara oleh Ninja Van Group dan DPDgroup menyatakan mereka ingin mengetahui syarikat penghantaran mana yang menghantar bungkusan mereka.

Kajian itu turut mendapati pengguna dalam talian juga mahu tahap jaminan dan sedikit jaminan perkhidmatan diberikan kepada mereka.

"Pengalaman beli-belah dalam talian hanya berakhir apabila pembeli memiliki pembelian diingini. Penghantaran, sebagai peringkat akhir beli-belah dalam talian, amat menyumbang bagi pengalaman keseluruhan," menurut kenyataan bersama Ninja Van dan DPDgroup pada Isnin.

Kenyataan itu sempena penerbitan 'E-commerce Southeast Asia (SEA) Barometer Report 2021 – Uncovering SEA online shoppers & delivery preferences' (Laporan Barometer e-Dagang Asia Tenggara 2021 – Mengenai Pembeli Dalam Talian dan Keutamaan Penghantaran Asia Tenggara) yang meliputi enam negara iaitu Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Kajian yang dijalankan pada Julai 2021 itu membabitkan lebih 9,000 peserta dan bertujuan mempelajari tabiat pembelian oleh pembeli dalam talian Asia Tenggara serta pengalaman beli-belah yang mereka inginkan daripada peringkat pembelian hingga penghantaran.

Menurut kedua-dua pihak, kajian itu mengesahkan komitmen Ninja Van, syarikat logistik ekspres dibolehkan teknologi, untuk memahami keperluan pengirim dan pembelinya bagi menyediakan penghantaran tanpa gangguan.

Memetik penyelidikan Facebook dan Bain & Co, bilangan pembeli-belah dalam talian di Asia Tenggara melonjak kira-kira 70 juta sejak pandemik Covid-19 melanda dua tahun lalu, dan angka itu dijangka meningkat kepada sekitar 380 juta menjelang 2026, menurut Ninja Van dan DPDgroup.

"Dalam 12 bulan lalu, Ninja Van Group telah menghantar kira-kira dua juta bungkusan setiap hari di seluruh negara yang ditinjau dalam laporan ini, sekali gus menyokong tumpuan yang lebih luas terhadap pertumbuhan e-dagang yang pesat," jelasnya.

Kedua-dua pihak menambah, apabila pembeli membiasakan diri dengan aktiviti membeli-belah dalam talian, mereka juga terbabit dalam peruncitan rentas sempadan.

"Lebih separuh daripada responden telah membeli daripada laman web asing, dan kebanyakannya memaklumkan telah berbuat demikian beberapa kali.

"Selain membeli dari negara dalam Asia Tenggara, ramai berkongsi bahawa mereka telah membeli dari negara Asia lain seperti China, Hong Kong, Taiwan, Jepun dan/atau Korea Selatan. Tingkah laku pengguna ini merupakan petunjuk kukuh untuk peruncit dalam talian supaya menyasarkan di luar sempadan negara mereka dan meningkatkan asas pelanggan di peringkat serantau dan global," jelas Ninja Van dan DPDgroup.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan menerusi emel, Ketua Pegawai Eksekutif Ninja Van Malaysia, Adzim Halim berkata dalam tempoh dua tahun lepas, syarikat mendapati pandemik telah memacu pertumbuhan e-dagang dan mendorong lebih ramai pembeli sedia ada untuk memesan lebih banyak secara dalam talian manakala pengguna baru mencuba membeli-belah dalam talian buat kali pertama.

"Bagi mencapai kejayaan dalam landskap e-dagang yang berubah-ubah ini, kami percaya bahawa syarikat perlu memahami peralihan tingkah laku dan jangkaan beli-belah pengguna. Kajian ini, dengan kerjasama DPDgroup, telah membolehkan kami melakukannya, serta memahami cabaran yang dihadapi pembeli dalam talian.

"Di Ninja Van Malaysia, kami komited untuk memberikan pengalaman penghantaran tanpa gangguan kepada pengirim dan pembeli. Kami percaya hasil dapatan dalam kajian ini akan menjadi panduan berguna untuk perusahaan kecil dan sederhana serta peserta industri bagi mengharungi dunia e-dagang dalam era pascapandemik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2022 @ 3:39 PM