Gambar hiasan
Gambar hiasan
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis sudah memulakan siasatan berhubung kebakaran sebuah stor logistik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Jalan Ipoh di sini, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kebakaran membabitkan stor yang digunakan untuk menyimpan barangan lama seperti kerusi dan meja yang dalam proses untuk dilupuskan.

"Stor itu juga ada menempatkan barangan penyelenggaraan tanaman seperti baja.

"Susulan kejadian, kami memulakan siasatan untuk menyiasat punca kebakaran," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.

Azmi berkata, pihaknya juga akan mendapatkan analisa daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, katanya, kebakaran itu tidak membabitkan barang kes.

Harian Metro hari ini melaporkan, stor logistik IPD Sentul, dua motosikal serta bot fiber terbakar malam tadi.

Pusat Gerakan Operasi JBPM Kuala Lumpur menerima panggilan kebakaran jam 11.57 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 2:34 PM