FOTO hiasan
FOTO hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Stor logistik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, dua motosikal dan bot fiber terbakar malam tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada jam 11.57 malam.

Komander Operasi JBPM Kuala Lumpur, Mohd Hafizan Hassan berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul dan dibantu BBP Titiwangsa ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan jentera Water Tanker dengan kekuatan 15 anggota bergegas ke lokasi.

"Kebakaran membabitkan sebuah stor logistik, dua motosikal dan sebuah bot fiber," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.14 tengah malam dan api dipadamkan sepenuhnya pada jam 12.33 tengah malam.

"Kejadian tidak membabitkan mangsa dan kemusnahan kebakaran dianggarkan 70 peratus.

"Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 10:30 AM