Azmi mengadakan sidang media susulan penangkapan dan rampasan kereta klon di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD
Azmi mengadakan sidang media susulan penangkapan dan rampasan kereta klon di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis akan mencadangkan kepada Majistret untuk mengkaji semula kaedah pelupusan barang rampasan bukti, khususnya mercun dengan cara yang lebih sesuai.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kajian perlu dilakukan bagi memastikan pelupusan yang selamat dan sesuai, sekali gus tidak mengulangi insiden yang berlaku di stor simpanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, semalam.

"Berdasarkan laporan daripada pihak bomba serta kimia, kita perlu melihat kaedah yang lebih baik untuk melupus barangan kes seperti mercun.

"Ini kerana ada sesetengah barang kes tidak sesuai dilupuskan cara begitu (gelek dengan jentolak). Disebabkan itu, kita kena lihat semula keperluan membuat pelupusan barang kes dengan cara tertentu sebelum dicadangkan kepada Majistret.

"Untuk makluman, kaedah pelupusan mercun dijalankan semalam mengikut arahan dikeluarkan oleh mahkamah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan stor simpanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul terbakar, semalam dan mengakibatkan tiga pekerja cedera ringan.

Dalam perkembangan berasingan, Azmi turut memaklumkan pihaknya akan mengatur penugasan anggota bagi memastikan warga Kuala Lumpur serta Putrajaya berada dalam keadaan selamat ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Seperti diumumkan sebelum ini, hanya 10 peratus sahaja anggota dibenarkan untuk bercuti dari jumlah kekuatan di IPK Kuala Lumpur sepanjang tempoh cuti perayaan ini.

"Pada masa sama, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) juga akan menjalankan rondaan di sekitar kawasan rumah penduduk sepanjang tempoh itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 5:04 PM