Bangunan yang masih dalam pembinaan di tingkat dua dan menjadi tempat tinggal pekerja serta penyimpanan peralatan pembinaan di Persiaran Pertahanan, di sini, terbakar hari ini. FOTO IHSAN JBPM
Bangunan yang masih dalam pembinaan di tingkat dua dan menjadi tempat tinggal pekerja serta penyimpanan peralatan pembinaan di Persiaran Pertahanan, di sini, terbakar hari ini. FOTO IHSAN JBPM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Sebuah bangunan yang masih dalam pembinaan dan menjadi tempat tinggal pekerja serta penyimpanan peralatan pembinaan di Persiaran Pertahanan, di sini, terbakar hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 11.04 pagi, seterusnya menghantar jentera ke tempat kejadian.

Komander Operasi JBPM Kuala Lumpur, Muhammad Ridhwan Kamarulzaman berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wangsa Maju dibantu BBP Jalan Hang Tuah, BBP Sentul, BBP Setapak dan BBP Gombak Selatan dengan kekuatan 55 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, setibanya jentera bomba di lokasi kejadian tujuh minit kemudian mendapati kebakaran membabitkan bangunan dalam pembinaan dan keadaan api sangat marak.

"Kebakaran berlaku di tingkat dua (tempat letak kereta) yang dijadikan tempat tinggal pekerja dan penyimpanan peralatan pembinaan.

"Seterusnya tindakan operasi pemadaman kebakaran dilakukan oleh anggota bomba dari luar bangunan bagi mengawal kebakaran daripada merebak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Ridhwan berkata, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada jam 11:51 pagi dan kawasan itu terbakar 100 peratus.

"Tiada mangsa yang terbabit dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 5:28 PM