YARODAH mengakui semakin sukar mendapatkan bekalan minyak masak pek satu kilogram di Taiping biarpun sering mendapatkanya melalui kedai runcit. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
YARODAH mengakui semakin sukar mendapatkan bekalan minyak masak pek satu kilogram di Taiping biarpun sering mendapatkanya melalui kedai runcit. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Taiping: Bekalan minyak masak sawit pek satu kilogram di bandar ini, walaupun semakin sukar, masih boleh diperoleh khususnya di kedai runcit.

Begitupun, tinjauan di sebuah pasar raya besar di sini hari ini mendapati, minyak masak sawit pek satu kilogram pek yang biasanya dijual pada harga RM2.50 sudah kehabisan stok.

Sebaliknya, minyak masak sawit botol lima kilogram masih memenuhi rak dan ia dijual pada harga RM28.49 hingga RM33.35.

Peniaga pisang goreng di Changkat Jering, Yarodah Mat Huseng, 47, berkata, dia memerlukan kira-kira 10 kilogram minyak masak sehari.

Perniagaan saya tidak terlalu terjejas memandangkan minyak pek satu kilogram masih boleh diperoleh di kedai runcit.

"Bagaimanapun, ia semakin sukar untuk diperoleh kerana penetapan hanya tiga pek sehari boleh dibeli oleh setiap orang," katanya.

Menurut Yarodah, kenaikan berterusan harga jualan bagi minyak masak sawit botol lima kilogram pasti akan menyukarkan peniaga sepertinya mendapatkan pek satu kilogram.

Katanya, orang ramai pasti akan lebih mengutamakan pek satu kilogram.

"Bagaimanapun, saya bersyukur memandangkan harga bahan mentah bagi menghasilkan pisang goreng masih kekal," katanya.

Sementara itu, tinjauan di pasar raya sama turut mendapati, kuantiti bekalan telur gred A dilihat berkurangan.

Pada masa sama, ada penurunan harga bagi ayam standard di pasar raya itu.

Ia dijual pada harga RM5.99 sekilogram berbanding berdasarkan penetapan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 berkuat kuasa 21 April hingga 20 Mei lalu iaitu RM7.90 sekilogram.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 4:42 PM