Tinjauan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini, mendapati harga beberapa jenis sayur menunjukkan peningkatan sejak awal Ramadan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Tinjauan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini, mendapati harga beberapa jenis sayur menunjukkan peningkatan sejak awal Ramadan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Harga beberapa jenis sayur di Kelantan menunjukkan peningkatan sejak awal Ramadan berikutan mendapat permintaan tinggi.

Tinjauan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini, mendapati harga lada hijau naik daripada RM20 kepada RM25 sekilogram, timun RM3 kepada RM4 sekilogram, dan bendi RM14 kepada RM18 untuk dua kilogram, manakala bunga kantan daripada RM2 kepada RM3.

Peniaga Zarina Yusoff, 45, berkata, kenaikan harga sayur itu bermula 1 Ramadan lalu dan ini kemungkinan disebabkan permintaan tinggi ketika bulan puasa.

"Walaupun harga sayur naik, namun peniaga tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya kerana tidak mahu pembeli rasa terbeban.

"Bagaimanapun, ada juga sayur yang mengalami penurunan harga seperti terung RM12 kepada RM10 sekilogram," katanya ketika ditemui di RTC, Tunjong, di sini, hari ini.

Manakala Farida Hamimi Mustafa, 29, berkata, harga sayur yang dibeli daripada pemborong meningkat menyebabkan peniaga terpaksa menaikkan sedikit harga, namun tidak mengambil untung yang banyak.

"Antara sayur yang dibeli dari pemborong dan mengalami kenaikan harga ialah jantung pisang daripada RM25 kepada RM30 untuk 10 kilogram dan timun batang daripada RM10 kepada RM18 untuk tujuh kilogram.

"Harga sayur ini dari dulu macam itu, sekejap naik sekejap turun dan selalunya kalau sudah," katanya.

Sementara itu, peniaga kedai runcit, Abd Aziz Ghulam Qader, 31, berkata, minyak masak peket satu kilogram (kg) bersubsidi mengalami kekurangan bekalan sejak sebulan lalu.

"Saya difahamkan kebanyakan pemborong mendakwa mereka tidak mempunyai stok minyak masak peket dan sejak itu saya tidak lagi menerima bekalan berkenaan.

"Bagaimanapun untuk mendapatkan minyak masak peket, saya mengambil inisiatif dan terpaksa membelinya di beberapa pasar raya yang kemudiannya dijual di kedai untuk memenuhi permintaan pelanggan yang datang membeli.

"Disebabkan itu juga, saya terpaksa menjual minyak masak peket yang dibeli pada harga RM2.50 kepada RM3 satu kilogram," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 8:37 AM