TINJAUAN minyak masak di pasar raya sekitar Lembah Klang yang dihadkan jualannya kepada pelanggan.
TINJAUAN minyak masak di pasar raya sekitar Lembah Klang yang dihadkan jualannya kepada pelanggan.
Nur Lela Zulkipli


Kuala Lumpur: Peniaga makanan mendakwa terpaksa menanggung pertambahan kos operasi harian berikutan kenaikan harga minyak masak botol selepas langkah rasionalisasi subsidi bermula esok.

Tinjauan Harian Metro mendapati peniaga goreng pisang, keropok lekor dan kuih-muih terpaksa menyerap kos harga minyak masak naik RM3.70 hingga RM3.90 sekilogram (kg), sekali gus mendakwa menjejaskan pendapatan harian masing-masing.

Pengasas Goreng Pisang Crispy, Hairul Hafizi Johari, 41, mengakui kenaikan bahan asas itu akan menjejaskan perniagaannya kerana pada masa sama perlu menjual pada harga sama.

Beliau berkata, dia tidak akan menaikkan harga jualan kerana tidak mahu kehilangan pelanggan setianya.

“Memang akan naik perbelanjaan harian perniagaan kerana minyak masak antara bahan mentah utama, namun saya tidak akan mengambil kesempatan untuk menaikkan harga sehingga kehilangan pelanggan, terutama yang sudah lama membeli dengan saya,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, tinjauan di sebuah pasar raya di Sungai Buloh pula mendapati bahan asas masakan itu masih dijual seperti biasa walaupun harga minyak masak botol akan naik mulai esok.

Pengurus pasar raya yang ingin dikenali sebagai Hafiz berkata, pada minggu lalu, berlaku pembelian panik bagi minyak masak di pasar raya itu, dipercayai selepas viral mengenai kenaikan harga bahan itu.

“Semua minyak masak sawit termasuk dalam paket dan botol hampir habis dijual sehingga kami terpaksa mengambil bekalan tambahan di gudang bagi menampung permintaan.

“Sejak itu, kami meletakkan had pembelian satu unit bagi setiap pelanggan berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan KPDNKK,” katanya.

Mengulas isu itu, Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Mohd Roslan Mahayudin berkata, masalah bekalan minyak masak berlaku kemungkinan berpunca daripada tindakan orang ramai yang membuat pembelian panik melebihi keperluan biasa sekali gus menyebabkan kehabisan stok di kedai runcit dan pasar raya.

“Pembelian panik oleh orang ramai menyebabkan kebanyakan kedai runcit dan pasar raya kehabisan stok dan kelewatan untuk menampung permintaan itu menyebabkan ada antara premis berkenaan putus bekalan minyak masak,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Berikutan itu, katanya, KPDNKK mengehadkan jualan minyak masak berkenaan supaya pembelian panik atau secara pukal oleh orang ramai dapat diperlahankan seterusnya masalah kekurangan bekalan minyak masak dapat diatasi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 10:16 AM