Ahmad Salim Bachok

Isu kenaikan harga barang bukanlah perkara baru. Ia adalah perkara biasa yang sudah berlaku sejak zaman dahulu kala lagi. Tetapi kenaikan harga minyak masak mulai awal bulan ini akibat pemansuhan subsidi dan pengapungan harga minyak masak mengikut harga pasaran menjadi isu besar kepada rakyat negara ini.

Saya sendiri mengalami stres beberapa hari lalu kerana terpaksa keluar masuk hampir di sepuluh kedai runcit dan tiga mini market semata-mata untuk mencari sebotol minyak masak. Di setiap kedai yang saya masuki hanya menemui rak minyak masak yang kosong.

Yang ada hanya minyak masak berasaskan jagung, kacang soya, bunga matahari atau minyak zaitun, sedangkan sang isteri hanya mahukan minyak masak kelapa sawit tempatan. Maka selepas puas pusing keliling, akhirnya saya dapat membeli sebotol minyak masak lima kilogram di sebuah pasar raya berhampiran.

Begitupun, stres saya bertukar menjadi sakit hati pula apabila terpaksa berbaris panjang walaupun hanya untuk membeli sebotol minyak masak. Di kaunter juruwang, sekali lagi kesabaran saya tercabar apabila juruwang memberitahu wang yang saya hulur tidak mencukupi untuk membayar minyak masak yang saya beli.

Saya menyerahkan wang RM20, tetapi juruwang berkenaan dengan lembut berkata: “Tak cukup lagi 65 sen encik...” Hah? Sebotol minyak masak lima kilogram berharga RM20.65? Pada awal bulan lalu saya membeli minyak masak jenama yang sama hanya RM13.50. Maknanya, dalam masa sebulan harganya naik RM7.15 atau peningkatan sebanyak 53 peratus!

Rupa-rupanya saya terlepas pandang isu kenaikan harga minyak masak ini. Sebenarnya, mulai 1 November lalu kerajaan telah menarik balik subsidi harga minyak masak di negara ini. Hanya minyak masak yang dijual dalam paket satu kilogram terus diberi subsidi dan dijual pada harga RM2.50.

Selepas memahami situasi, saya akur. Malah saya secara peribadi berpendapat tindakan kerajaan ini adalah wajar dan munasabah. Mungkin ramai yang tidak setuju dan marah dengan pendirian saya ini, iaitu menyokong kenaikan harga barang. Sekali pandang, mungkin orang akan berkata saya sudah menjadi sewel kerana barangkali oksigen sudah tidak sampai ke otak.

Baiklah, saya berikan sedikit fakta mengenai minyak masak di Malaysia. Sejak tahun 2010 hingga tahun lalu, kerajaan memberi subsidi berjumlah RM6.3 bilion atau purata RM1.05 bilion setiap tahun kepada minyak masak di negara ini.

Tetapi lebih separuh daripada minyak masak yang sepatutnya digunakan oleh rakyat negara ini telah diseludup ke negara jiran terutamanya Thailand, Filipina dan Indonesia. Jumlah minyak masak yang diseludup keluar membabitkan subsidi kira-kira RM540 juta setahun.

Dalam kata lain, lebih RM500 juta wang milik rakyat negara ini diberi begitu saja kepada rakyat di tiga negara jiran kita ini melalui minyak masak yang diseludup itu. Malah, rakyat Singapura pun turut mengambil kesempatan membeli secara berlebihan minyak masak kita di pasar raya sekitar Johor Bahru setiap hari.

Ini kerana bahan yang sama berharga RM57.60 untuk kuantiti yang sama (botol lima kilogram) di pasar raya NTUC Fairprice di republik itu, sedangkan di tempat kita harganya tidak sampai RM14. Di Thailand, minyak masak dijual sekitar RM5 sekilogram, manakala di Filipina bahan ini berharga RM8 sekilogram.

Bagi saya, satu lagi sudut positif berkaitan harga baru minyak masak ini ialah ia boleh menyebabkan masyarakat kita akan mengurangkan pengambilan bahan makanan yang menggunakan banyak minyak. Makanan jenis bergoreng memang tidak baik untuk kesihatan kerana boleh menyebabkan sakit jantung dan punca utama gemuk.

Seperti juga kenaikan harga gula yang membolehkan kita mengurangkan pengambilan makanan bergula seperti minuman dan kuih-muih manis yang boleh menyebabkan kencing manis, maka menggantikan makanan bergoreng kepada hidangan rebus, panggang dan bakar akan menjadikan hidup kita lebih sihat.

Mungkin kenaikan harga minyak masak akan menyebabkan harga pisang goreng atau roti canai meningkat, tetapi kita boleh menggantikan makanan kegemaran rakyat negara ini kepada menu lain seperti pisang atau ubi rebus, nan atau capati yang tentunya lebih sihat kerana tidak mengandungi minyak.

Malah lebih bermakna lagi jika kenaikan harga bahan masak ini akan menjadikan kita manusia yang lebih bijaksana dalam mengatur kewangan diri. Jika dulu mungkin ramai yang hampir setiap hari ketagih teh tarik dan roti canai, tetapi dengan kenaikan harga gula serta minyak masak ini membuatkan kita bertindak mengurangkan kekerapan kunjungan ke restoran mamak kegemaran kita itu.

Jika ini boleh berlaku, maka kenaikan harga minyak masak dan gula akibat pemansuhan subsidi oleh kerajaan boleh dianggap satu rahmat besar kepada negara. Bukan saja rakyat bertambah sihat, tetapi ratusan juta ringgit wang subsidi dapat diselamatkan daripada dicurahkan sia-sia kepada orang lain di seberang sempadan.

Yang rugi adalah negara, manakala yang untung dan kaya-raya hanyalah penyeludup durjana yang berkolaborasi dengan pemborong dan segelintir penguat kuasa kita yang korup dan tidak beramanah di sempadan negara.

Penulis Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2016 @ 11:17 PM