MAHAR sudah menyampaikan tiga pusingan program bantuan kecemasan di Palestin. FOTO ihsan MAHAR
MAHAR sudah menyampaikan tiga pusingan program bantuan kecemasan di Palestin. FOTO ihsan MAHAR
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) sudah menyampaikan tiga pusingan program bantuan kecemasan di Palestin, yang memberi manfaat kepada lebih 500 keluarga di Gaza.

Pengerusi Mahar, Jismi Johari berkata, pihaknya akan terus menyampaikan bantuan dan pertolongan mengikut jadual mingguan dengan mengutamakan barang penting diperlukan mangsa.

Beliau menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang menyokong kempen bantuan itu sekali gus membantu kehidupan masyarakat di Palestin membangunkan kembali kehidupan.

"Kami mengalu-alukan lebih banyak pihak menyertai kempen bantuan ini kerana kami percaya bahawa perjuangan Palestin adalah masalah kemanusiaan dan menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang mereka.

"Terbaru, kami menerima RM100,000 daripada Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Dana ini digunakan untuk membantu masyarakat Palestin yang terjejas di Tebing Barat dan Gaza khususnya dalam menyediakan keperluan asas makanan, perubatan dan tempat tinggal," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Armada Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berharap dana disumbangkan itu dapat mengurangkan sedikit bebanan masyarakat Palestin yang tertindas.

Orang ramai boleh menderma melalui ikhlas.com atau melalui aplikasi IKHLAS.

Semua dana yang diperoleh melalui kempen ini akan disalurkan kepada penduduk Palestin terjejas.

Untuk keterangan lebih lanjut mengenai inisiatif yang akan datang, sila kunjungi kempen atau Instagram @mahar.relief dan @ikhlasdotcom dan Facebook Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) dan IKHLAS.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 1:10 PM