Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Malaysian Humanitarian Aid and Relief (Mahar) bimbang dengan keinginan Israel mahu meneruskan pembunuhan dan kemusnahan di Gaza khususnya terkini di kawasan Rafah bahagian Palestin semata-mata memenuhi keinginan jahat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Penasihat Mahar Nurul Izzah Anwar berkata, dunia sekali lagi dikejutkan dengan gambaran sebenar perangai Israel yang sudah menghantar kereta kebal mereka di Kompleks Imigresen Rafah.

Menurutnya, Rafah adalah antara kawasan terakhir yang belum dimusnahkan dan kini menjadi kawasan perlindungan kepada lebih satu setengah juta penduduk Gaza.

"Tentera Israel sudah menguasai kompleks yang menjadi pintu masuk dan keluar dari Gaza dan Mesir.

"Rejim juga bertindak biadap dengan menurunkan bendera Palestin dan menaikkan bendera Israel di kompleks itu.

"Ekoran dari tindakan itu menyebabkan pergerakan sukarelawan dan juga barangan bantuan dihentikan melalui pintu Rafah.

"Selain itu, terdapat juga laporan dari media Ibrani yang menunjukkan kereta kebal tentera Israel sedang beroperasi di Koridor Philidelphi.

"Ini secara jelas menandakan yang Israel mencabuli Perjanjian Philidelpi 2005 yang bersetuju kawasan berkenaan adalah kawasan bebas tentera (demilitarized zone)," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pencabulan berkali-kali hak asasi manusia oleh rejim Israel di Gaza itu jelas menunjukkan keangkuhan rejim zionis seolah-olah kebal daripada segala perundangan antarabangsa.

Justeru, katanya, semua segenap lapisan masyarakat harus bangkit dan memberikan tekanan kepada Israel dan sekutunya untuk berhenti melakukan perkara yang menambah kesengsaraan kepada warga Gaza khususnya mereka yang sedang berlindung di Rafah.

"Masyarakat seluruh dunia perlu memberi perhatian penuh kepada apa yang berlaku di Rafah pada ketika ini.

"Sama-sama kita mendoakan keselamatan mereka. Doa kami bersamamu, Palestin," katanya.

Terdahulu, Netanyahu berikrar untuk ke Rafah sebagai sebahagian daripada kempen menghapuskan Hamas selepas serangan ke atas Israel pada 7 Oktober tahun lalu.

Israel sebelum ini menentang bantahan Amerika Syarikat (AS) dan antarabangsa serta menghantar kereta kebal ke Rafah, yang pada awal Selasa merampas sempadan penting dengan Mesir itu.

Kereta kebal Israel dihantar ke Rafah di selatan Gaza dan merampas lintasan sempadan dengan Mesir itu kelmarin dalam operasi yang menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menafikan akses kepada laluan kemanusiaan utama.

Serangan ke atas sektor timur Rafah yang dipenuhi orang awam yang kehilangan tempat tinggal dibuat ketika perunding dan pengantara bertemu di Kaherah dalam usaha pembebasan tebusan dan gencatan senjata membabitkan perang yang berlanjutan selama tujuh bulan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 10:44 AM