Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Putrajaya, Azman Adam melakukan pemantauan ketika mengetuai Ops Bersepadu Pemeriksaan SOP Akta 342 di Lotus Extra Bercham.
Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Putrajaya, Azman Adam melakukan pemantauan ketika mengetuai Ops Bersepadu Pemeriksaan SOP Akta 342 di Lotus Extra Bercham.
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menasihati pengguna agar tidak panik berbelanja kerana barang keperluan di seluruh negara adalah mencukupi.

Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya Azman Adam berkata, orang ramai perlu bijak dengan berbelanja seperti biasa, namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Sebelum ini barang yang selalu mengalami masalah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 adalah seperti roti, mi segera, sardin, ayam, pelitup muka dan cecair pembasmi kuman.

"Tetapi, sekarang kita mendapati ia tidak lagi berlaku ketika PKP 3.0 ini, bahkan harga barang tertentu lebih murah dan ini menunjukkan bahawa pengguna tidak perlu panik,

"Berdasarkan statistik dari 1 Jun hingga 5 Jun lalu, hanya ada 15 aduan saja berkaitan masalah bekalan dan harga di seluruh negara," katanya.

Azman berkata, pihaknya juga mendapati kebanyakan pasar raya turut mempromosikan pembelian secara atas talian dan perkhidmatan 'personal shopper'.

"Jadi sebagai pengguna, kita boleh menggunakan perkhidmatan itu untuk memudahkan urusan sekali gus mengurangkan percampuran dengan pengguna lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 6:12 PM