ROSOL Wahid (dua dari kiri) melihat kentang dan bawang yang dijual di sebuah pasaraya di Senawang ketika melakukan pemeriksaan hari ini. FOTO BERNAMA
ROSOL Wahid (dua dari kiri) melihat kentang dan bawang yang dijual di sebuah pasaraya di Senawang ketika melakukan pemeriksaan hari ini. FOTO BERNAMA
Mohd Amin Jalil


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak menerima aduan daripada pengguna sejak sebahagian fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, berbanding pada peringkat awal PKP dikuatkuasakan, kementerian itu banyak menerima aduan membabitkan bekalan dan harga barangan keperluan harian.

Beliau berkata, ia berlaku berikutan segelintir rakyat panik dan khuatir terhadap bahan bekalan makanan apabila PKP dilaksanakan sehingga menjurus kepada berlakunya pembelian panik dan luar jangka.

"Bagaimanapun ketika memasuki sebahagian fasa kedua sehingga ke hari ini, KPDNHEP tidak menerima aduan langsung daripada pengguna, sama ada daripada segi bekalan mahupun harga barangan keperluan harian.

"Ini menunjukkan rakyat berpuas hati, walaupun ada segelintir barangan naik tetapi terdapat sebahagian daripadanya turun," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan dan pemeriksaan di TF Value Mart Senawang, Seremban, hari ini.

Hadir sama, Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman.

Rosol berkata, kementeriannya memberi jaminan bekalan makanan dan barang keperluan harian negara ini mencukupi sehingga tempoh sembilan bulan, sekali gus tidak akan berlaku kebuluran.

Beliau berkata, rakyat diminta tidak bimbang dan elak melakukan pembelian panik terutama ketika membeli keperluan Ramadan berikutan bekalan sentiasa ada serta mencukupi.

"Selain KPDNHEP, kementerian lain turut memainkan peranan memastikan stok mencukupi bagi menjamin keperluan rakyat, dan setakat ini stok mencukupi sehingga sembilan bulan.

"Kita sentiasa memantau barang keperluan asas seperti beras, telur, roti dan bawang sentiasa berada dalam pasaran dan setakat ini tiada kenaikan harga barang.

"Kita mengucapkan terima kasih kepada peniaga pasar raya dan peruncit kerana menjual pada harga berpatutan kepada pengguna," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2020 @ 6:55 PM