Omar Ahmad

Johor Bahru : Tiada pembelian panik di kalangan masyarakat berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh yang berkuat kuasa 1 Jun depan.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam bagaimanapun mengakui bahawa terdapat pertambahan pelanggan di kebanyakan pasaraya di seluruh negara hari ini berbanding hari biasa.

Menurutnya, hasil pemantauan pegawai penguatkuasa KPDNHEP di seluruh negara mendapati situasi itu disebabkan ramai pengguna menggunakan cuti hujung minggu untuk membeli barangan dan berbelanja.

"Sejak awal pagi pegawai penguatkuasa di seluruh negara diarah membuat pemantauan. Pemantauan ini dibuat bagi mendapatkan gambaran sebenar situasi yang berlaku.

"Saya harap isu pembelian panik tidak berlaku. Sepatutnya masyarakat sudah berpengalaman serta matang, ini bukan kali pertama.

"Saya dapati secara umumnya tidak ada berlaku pembelian panik, cuma jumlah pelanggan ramai. Saya bertanya mereka (pengguna) dan alasan yang diberikan salah satunya ialah hari cuti dan pengumuman sekatan pergerakan penuh. Mereka mahu membuat persediaan. Rata-rata pengguna membeli dalam jumlah kuantiti yang munasabah," katanya.

Azman berkata, ada laporan pembelian panik membabitkan sebahagian kecil pengunjung.

"Jadi saya harap perkara itu tidak berlaku dan berterusan. Apabila lihat mereka beratur panjang di luar premis bukan sebab pembelian panik tetapi bila perintah kawalan pergerakan (PKP), ada pasar raya yang ambil inisiatif hadkan pelanggan, itu juga menyumbang kepada situasi beratur panjang. Saya harap ia tidak disensasikan," katanya.

PENGUNJUNG membeli barangan secara berhemah, tiada pembelian panik selepas pengumuman pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh bermula 1 Jun. FOTO OMar Ahmad
PENGUNJUNG membeli barangan secara berhemah, tiada pembelian panik selepas pengumuman pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh bermula 1 Jun. FOTO OMar Ahmad

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pemantauan KPDNHEP di Pasaraya Lotus Tebrau, di sini, hari ini.

Menurut Azman, pihaknya juga memberi jaminan bekalan asas bahan makanan seperti roti, telur dan minyak mencukupi.

Katanya, setakat ini tiada kenaikan harga dikesan, bagaimanapun sekiranya ia berlaku dalam tempoh sekatan pergerakan penuh, pihaknya akan mengambil tindakan.

"Kami juga memaklumkan bahawa penguatkuasa Operasi Had dua jam ditangguhkan serta merta, sehingga ke satu tempoh masa yang akan diberitahu.

"Penangguhan ini adalah bagi mengelakkan suasana pembelian panik dan memberi ruang kepada pengguna keluar membuat persiapan awal sebelum sekatan pergerakan penuh bermula.

"Namun orang ramai diingatkan untuk segera pulang ke rumah sebaik selesai urusan di luar," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Mei 2021 @ 6:32 PM