Dr Mohamad Rafiq (kiri) bersama Mohd Syahbuddin meneliti pemberian vaksin kepada seorang penduduk di PPV di Pusat Latihan kesedar. FOTO RAMLI IBRAHIM
Dr Mohamad Rafiq (kiri) bersama Mohd Syahbuddin meneliti pemberian vaksin kepada seorang penduduk di PPV di Pusat Latihan kesedar. FOTO RAMLI IBRAHIM
BERNAMA

Gua Musang: Golongan warga emas dan kelompok berisiko tinggi di jajahan ini mempamerkan kesedaran yang tinggi berhubung kepentingan mendapatkan vaksin Covid-19 dengan purata 400 orang mengambil suntikan vaksin itu setiap hari.

Pegawai Kesihatan Daerah, Dr Mohamad Rafiq berkata, jumlah yang tidak hadir janji temu juga amat rendah, iaitu sekitar 20 orang sehari dengan kebanyakannya disebabkan masalah kesihatan.

"Sejak fasa dua bermula pada 31 Mei lalu di daerah ini, kira-kira 4,000 golongan sasaran menerima suntikan vaksin," katanya kepada pemberita hari ini.

Menurutnya, pemberian vaksin dilaksanakan oleh dua pusat pemberian vaksin (PPV) iaitu di Pusat Latihan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Dewan Orang Ramai Chiku 5.

"Jika ada yang tidak datang, kita beri peluang kepada penerima lain yang sudah mendaftar," katanya selepas meninjau PPV Pusat Latihan Kesedar di sini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas Mohd Syahbuddin Hashim berkata, Pusat Khidmat Dun Galas turut membuka kaunter pendaftaran vaksin dan sambutan yang diterima adalah menggalakkan.

"Alhamdulillah, setakat ini semua gerak kerja bagi pendaftaran vaksin berjalan dengan baik dan bilangan yang mendaftar juga meningkat kerana kesedaran mereka untuk menerima suntikan itu ketika wabak Covid-19 sedang meningkat.

"Pusat Khidmat Dun Galas juga bekerjasama dengan agensi lain untuk bergerak ke setiap kampung bagi membantu penduduk yang berdepan masalah pengangkutan untuk keluar ke bandar, kita bantu mereka buat pendaftaran secara manual," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 2:43 PM