BERNAMA

Kangar: Kerajaan negeri menyasarkan dapat mencapai 80 peratus imuniti kelompok dengan pemberian vaksin Covid-19 pada Disember ini, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Azman Mohd Yusof.

Beliau berkata, sasaran itu berdasarkan lima strategi yang dirangka kerajaan negeri bersama Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), yang sedang dan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

"Perlis fokus kepada aktiviti turun padang bagi meningkatkan jumlah pendaftaran vaksin, selain giat menyusun empat lagi strategi antaranya mempelbagai platform pusat pemberian vaksinasi (PPV), menubuhkan pusat bantuan vaksinasi, menjangkau komuniti dan menggembleng jentera pentadbiran negeri.

"Saya turun padang dan melihat sendiri ramai dalam kalangan penduduk kampung tidak tahu menggunakan aplikasi Mysejahtera," katanya kepada pemberita pada lawatan persediaan pembukaan operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV), di Dewan Warisan Kangar di sini, hari ini.

Sehubungan itu kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), mengambil inisiatif menyediakan lebih 20,000 helaian borang untuk diedarkan, bagi memudahkan masyarakat mendaftar.

PPV itu adalah yang ketiga di negeri ini yang berupaya untuk memvaksin 800 orang sehari, dilengkapi enam kaunter, sebuah bilik rawatan kecemasan dan 120 tenaga pekerja, akan mula beroperasi esok selepas PPV pertama dibuka di Dewan Wawasan 2020, Kangar pada 16 Mac dan PPV kedua di Dewan Sri Melati, Beseri pada 27 Mei lalu.

AZMAN (kiri) ketika meninjau persediaan pembukaan operasi PPV Dewan Warisan, Kangar, hari ini. FOTO Aizat Sharif.
AZMAN (kiri) ketika meninjau persediaan pembukaan operasi PPV Dewan Warisan, Kangar, hari ini. FOTO Aizat Sharif.

Azman yang Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam negeri berkata, berdasarkan aktiviti turun padang dan memujuk orang awam khususnya masyarakat luar bandar, JPKK mendaftar 100 ke 150 sehari dengan jumlah kesedaran masyarakat mengenai kepentingan vaksin meningkat, daripada 80 kepada 86 peratus.

Seramai 102,370 orang telah mendaftar setakat 11 Jun di Perlis dan daripada jumlah itu, kira-kira 71 peratus telah pun mendapatkan suntikan vaksin, dengan seramai 43,197 orang telah mendapatkan dos pertama manakala 22,209 orang telah mendapatkan dos kedua.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 6:51 PM