Mohd Akmal (tengah) bertanyakan sesuatu kepada seorang penerima program program vaksinasi di Klinik Kesihatan Sungai Bayor, Selama. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Mohd Akmal (tengah) bertanyakan sesuatu kepada seorang penerima program program vaksinasi di Klinik Kesihatan Sungai Bayor, Selama. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Selama: Enam pusat pemberian vaksin (PPV) yang bakal dibuka di daerah kecil di Perak awal Julai depan dijangka dapat meningkatkan jumlah pendaftar dan penerima vaksin khususnya di kawasan luar bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Mohd Akmal Kamarudin, berkata, enam PPV berkenaan adalah di Selama, Gopeng, Beruas, Seberang Perak, Sungai Siput dan Lenggong.

"Terdapat 28,000 penduduk di Dewan Undangan Selama (Dun), dan 8,400 daripadanya sudah mendaftar untuk menerima vaksin.

"PPV ini dijangka mampu memberi suntikan sehingga 2,600 orang sehari, dan menerusi pembukaannya kita yakin jumlah pendaftaran dan penerima vaksin Covid-19 akan meningkat," katanya ditemui media selepas mengadakan lawatan kerja di Klinik Kesihatan Sungai Bayor, di sini, hari ini.

Menurutnya, secara keseluruhan seramai 233,298 penduduk di Perak sudah menerima suntikan dos pertama dan 138,403 bagi suntikan dos kedua, sehingga 16 Jun lalu.

Sementara itu, Mohd Akmal berkata, program 'outreach' yang dilaksanakan di Klinik Kesihatan Sungai Bayor, di sini mendapat sambutan menggalakkan.

"Seramai 600 penduduk sudah mendaftar sejak empat hari lalu bagi mendapatkan suntikan vaksin dan pada hari ini seramai 150 orang diberikan suntikan dan 150 lagi menerima suntikan pada esok manakala bakinya akan diberikan suntikan di PPV Selama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 3:34 PM