ABDUL Halim. FOTO Amir Mamat
ABDUL Halim. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat

Melaka: Tiada laporan mengenai guru agama atau penceramah bertauliah di Melaka yang menyebarkan dakwah bertentangan dasar kerajaan membabitkan penularan wabak serta Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Mufti Negeri, Datuk Wira Abd Halim Tawil, berkata pihaknya sentiasa memantau setiap aktiviti dakwah yang dilaksanakan di negeri ini bagi memastikan tiada unsur yang boleh mempengaruhi orang awam menentang dasar kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan di negeri ini bulan lalu, pihaknya menerusi Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) terpaksa menghentikan sementara sebarang aktiviti ceramah atau kuliah agama di negeri ini.

"Pihak berkuasa agama negeri di bawah Jabatan Mufti Negeri dan JAIM sentiasa memantau sekiranya ada dalam kalangan pendakwah dan penceramah agama negeri yang menentang dan memainkan isu berkaitan usaha kerajaan dalam memutuskan rantaian Covid-19 serta menimbulkan kekeliruan serta kegusaran masyarakat.

"Pada masa sama, setakat ini tiada laporan mengenai mana-mana penceramah agama bertauliah yang menyebarkan dakyah yang tidak selari mengenai program vaksinasi negara yang diusahakan kerajaan ketika ini.

"Pihak berkuasa agama negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada penceramah yang didapati menyebarkan pandangan sedemikian kepada masyarakat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau diminta mengulas titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang dilaporkan melarang sebarang penyampaian dan pengajaran kuliah bertentangan dasar kerajaan berkaitan penularan wabak serta Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Larangan itu dibuat selepas pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mendapati segelintir pendakwah, termasuk pemegang tauliah mengajar MAIK, membuat kenyataan bertentangan dasar kerajaan berhubung perkara terbabit.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Mei 2021 @ 5:07 PM