LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu mengesahkan kayu balak bersaiz besar yang dibawa dari negeri ini diambil dari kawasan yang dilesenkan untuk tujuan pembalakan.

Pengarahnya Roslan Rani berkata, kawasan berkenaan mendapat kelulusan untuk tujuan pembalakan pada 2017 yang mana ia dirancang untuk tujuan pembangunan ketika itu.

Katanya, empat tual balak jenis Cengal diambil daripada kawasan usahasil berlesen dan pemindahan dibuat mengikut peraturan yang berkuat kuasa.

"Kayu berkenaan dari kawasan lesen yang dibawa keluar ke sebuah kilang papan di Durian Mas, Dungun melalui Balai Pemeriksaan Hutan Air Putih membabitkan empat Pas Pemindah.

"Sebuah syarikat membuat permohonan kepada Pejabat Hutan Daerah Terengganu Selatan 10 Mei lalu untuk memindahkan kayu itu ke sebuah kilang di Rawang, Selangor.

"Permohonan itu diluluskan pada 18 Mei lalu dan empat tual balak itu dikeluarkan satu Pas Pemindah Ganti oleh Pengawas Hutan di Balai Pemeriksaan Durian Mas, semalam," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, dakwaan yang mengatakan kayu balak itu tidak dikenakan bayaran cukai kerana Balai Pemeriksaan Hutan ditutup semalam juga tidak berasas.

Katanya, Balai Pemeriksaan Hutan di Terengganu dibuka bermula jam 8 pagi hingga 5 petang semalam, dan penafsiran cukai dibuat di Balai Pemeriksaan Durian Mas, Dungun.

Sebelum ini, tular gambar sebuah lori membawa empat tual balak spesis cengal yang dirakam di kawasan rehat dan rawat (RNR) Temerloh berikutan saiz balaknya yang besar dan dikatakan ditebang dalam hutan simpan.

Berita berkaitan:

  • Pemindahan kayu balak saiz luar biasa sah
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 6:00 PM