GAMBAR treler membawa kayu balak yang tular.
GAMBAR treler membawa kayu balak yang tular.
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengesahkan proses pemindahan kayu balak bersaiz 'luar biasa' yang tular dalam media sosial semalam mempunyai dokumen sah

Pengarah JPNP, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, Unit Tindakan Khas (UTK) Pejabat Hutan Daerah (PHD) Bentong yang diketuai Pegawai PHD Bentong, Haffiz Baharuddin melakukan siasatan selepas menerima maklumat, dan lori terbabit ditahan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gombak arah barat.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati empat tual balak jenis Cengal itu dikeluarkan Jabatan Perhutanan Terengganu, dan pihaknya mendapati pemindahan itu mematuhi semua syarat seperti pas atau premis memindah.

"Tiada sebarang keraguan atau kesalahan dilakukan oleh pelesen termasuk pemandu lori.

"Saiz besar atau kecil balak yang dipindahkan tidak menjadi satu kesalahan, asalkan ia mematuhi semua syarat dan peraturan ditetapkan oleh jabatan perhutanan negeri tempat lesen kawasan pembalakan dikeluarkan," katanya dihubungi, di sini hari ini.

Semalam tular gambar sebuah lori membawa muatan empat tual balak spesies cengal yang dirakam di kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Temerloh, berikutan saiz balak yang besar ia dikatakan ditebang dalam hutan simpan.

Pengguna itu antara lain mempersoalkan mengapa lori itu tidak menunjukkan plat lesen pembalakan seperti kebiasaan selain bagaimana balak itu boleh lepas tanpa pemeriksaan atau bayaran cukai kerana mendakwa Balai Pemeriksaan Hutan ditutup pada hari minggu.

Mohd Hizamri berkata, empat tual balak itu dalam perjalanan ke sebuah kilang papan di Selangor.

Katanya, kes diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) untuk tindakan selanjutnya kerana ketika ditahan lori balak terbabit berada dalam negeri Selangor.

"Saya ingin menasihatkan kepada masyarakat supaya membuat aduan terus kepada jabatan supaya tindakan lebih pantas dapat dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 10:54 AM