Balak jenis Kekatong  dirampas Jabatan Perhutanan di Hutan Simpan Hulu Terengganu berhampiran Kampung Kemat, Jalan Sekayu, Kuala Berang. FOTO IHSAN JABATAN PERHUTANAN
Balak jenis Kekatong dirampas Jabatan Perhutanan di Hutan Simpan Hulu Terengganu berhampiran Kampung Kemat, Jalan Sekayu, Kuala Berang. FOTO IHSAN JABATAN PERHUTANAN
Zaid Salim


JABATAN Perhutanan merampas sebanyak 30 batang kayu bergergaji dan dua tual balak jenis kekatong bernilai RM5,000 dalam operasi di Hutan Simpan Hulu Terengganu semalam.

Susulan rampasan pada 4.30 petang itu, jabatan berkenaan kini memburu seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an untuk membantu siasatan.

Pengarahnya, Muhamad Abdullah berkata, pihaknya turut merampas sebuah motosikal yang ditinggalkan lelaki berkenaan selepas melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Menurutnya, operasi mengesan kegiatan mengambil hasil hutan tanpa kebenaran di kawasan berkenaan dilakukan anggota Pejabat Hutan Daerah Terengganu Barat dan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu.

“Ketika rondaan, anggota berkenaan terserempak dengan lelaki terbabit yang sedang leka membelah tual balak di kawasan Kompartmen (Kpt) 11 Hutan Simpan Hulu Terengganu berhampiran Kampung Kemat, Jalan Sekayu, Kuala Berang.

“Bagaimanapun, lelaki terbabit yang menyedari kehadiran anggota kami kemudian bergegas melarikan diri dan meninggalkan motosikal serta kayu yang sudah dipotong sebanyak 30 batang membabit tiga tual balak,” katanya.

Beliau berkata, kesemua kayu terbabit serta dua tual balak kemudiannya dibawa ke Pejabat Hutan Daerah Terengganu Barat untuk siasatan.

Muhamad berkata, siasatan awal mendapati balak yang dipotong berusia antara 30 hingga 40 tahun dan kayu hasil hutan berkenaan tidak pasti sama ada untuk dijual atau kegunaan sendiri.

Katanya, pihaknya akan meningkatkan operasi terutama di kawasan ‘panas’ bagi memastikan lokasi terbabit tidak diceroboh individu yang menjalankan kegiatan pembalakan haram.

“Sebanyak 19 kawasan dikenal pasti sebagai ‘panas’ di seluruh negeri dan sebahagiannya di kawasan Terenggnu Barat iaitu di Hutan Simpan Hulu Terenngganu, Tembat, Pasir Raja Barat dan Hulu Telemung,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 47 dan 81, Akta Perhutanan Negara 1984 kerana memasuki Hutan Simpanan Kekal tanpa kebenaran dan menceroboh Hutan Simpanan Kekal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 7:07 PM