Balak yang sedang ditarik jentolak ketika ditahan anggota penguatkuasa. FOTO IHSAN JABATAN PERHUTANAN NEGERI TERENGGANU
Balak yang sedang ditarik jentolak ketika ditahan anggota penguatkuasa. FOTO IHSAN JABATAN PERHUTANAN NEGERI TERENGGANU
Zaid Salim


JABATAN Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) menahan dua lelaki dan merampas sebuah jentera berat dalam serbuan di Kompartment 40, Hutan Simpan Hulu Besut di kawasan Felcra Keruak, Besut, semalam.

Dua suspek terbabit termasuk seorang warga Indonesia berusia 37 dan 38 tahun ditahan ketika dalam perjalanan keluar dari kawasan berkenaan pada 12.30 tengah hari.

Pengarah JPNT, Muhamad Abdullah berkata, ketika ditahan, dua suspek terbabit dipercayai sudah berada si di kawasan hutan berkenaan selama satu minggu dan cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa di kawasan hutan itu.

"Ketika melakukan rondaan, pasukan Unit Penguatkuasa Negeri Terengganu dan pasukan Pejabat Hutan Renjer Besut terdengar bunyi jentera sebelum mendapati dua lelaki menaiki jentolak di laluan keluar kira-kira 50 meter dari kawasan hutan itu.

"Kami percaya dua lelaki terbabit cuba keluar dari kawasan berkenaan dengan menaiki jentolak itu," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan di kawasan itu menemui beberapa kayu balak daripada pelbagai spesies belum sempat dibawa keluar dari kawasan berkenaan.

Katanya, pemeriksaan turut mendapati satu tual kayu dalam keadaan terikat dipercayai dalam proses untuk ditarik keluar menggunakan jentera berkenaan.

"Selain tual kayu balak dianggarkan bernilai RM50,000, kami turut merampas sebuah jentera excavator serta dua unit telefon bimbit milik kedua-dua suspek," katanya.

Beliau berkata, lelaki tempatan berasal dari Felcra Keruak dan rakannya warga Indonesia itu dibawa ke Balai Polis Kampung Raja untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 kerana mengambil hasil hutan tanpa kebenaran dan menceroboh Hutan Simpan Kekal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 3:25 PM