PENGUSAHA bas bakal gulung tikar.
PENGUSAHA bas bakal gulung tikar.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Derita sektor pengangkutan awam terutama bas ekspres semakin parah selepas rentas negeri masih tidak dibenarkan sejak lebih enam bulan lalu.

Malah, kini sudah banyak pengusaha dan syarikat bas gulung tikar ekoran tidak mampu meneruskan operasi kerana ketiadaan penumpang.

Bagaimanapun, penutupan operasi masih tidak mampu menutup hutang ansuran bas yang masih perlu dibayar kepada bank dan syarikat kredit.

Mengulas lanjut, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa), Mohamad Kaharrudin Salleh berkata, syarikat dan pemandu bas memohon kerajaan untuk mengarahkan bank memberikan lanjutan moratorium.

Katanya, moratorium mampu memberikan ruang kepada syarikat untuk mencari alternatif lain bagi membuat pembayaran ansuran.

"Kerajaan perlu berikan arahan agar bank lanjut moratorium kerana jika tidak kami akan terus tersepit.

"Syarikat bas tidak boleh beroperasi dan ada sudah tutup operasi, namun ansuran perlu dilunaskan.

"Persatuan hanya mohon untuk lanjutkan moratorium supaya syarikat terkesan ada masa untuk melaksanakan model bisnes baru bagi menjana pendapatan seterusnya membayar ansuran," katanya.

Beliau berkata, dalam keadaan ekonomi mencabar ini ramai yang sudah 'tersungkur' kerana tidak mampu menanggung beban hutang dan kos operasi tinggi.

Menurutnya, bank dan syarikat kredit diharap boleh memberi kelonggaran dan pertimbangan sewajarnya kepada peminjam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 4:26 PM