Nur Izzati Mohamad

Batu Kawan: Bukan mahu lari daripada hutang, sebaliknya pengusaha bas persiaran dalam Gabungan Pengusaha Bas Persiaran Zon Utara (GPBPZU) berharap kerajaan membantu dalam menyelesaikan isu pinjaman dengan syarikat kredit.

Malah, lebih 20 ahli badan itu termasuk pengerusinya Ahmad Ruslan Abdul Latiff berhimpun di Stadium Batu Kawan di sini, hari ini sebagai jalan akhir menuntut perhatian dan campur tangan kerajaan.

Ahmad Ruslan berkata, ada pengusaha yang menunggu masa gulung tikar disebabkan sukar bertahan ketika tempoh pandemik Covid-19 dan ketiadaan moratorium.

"Kami tidak salahkan syarikat kredit kerana suatu ketika dahulu banyak membantu kami, tapi pada masa ini kami memerlukan ruang kerana situasi amat menekan dan harapkan bantuan kerajaan sehingga keadaan ekonomi pulih.

"Tempoh moratorium yang diberikan kepada kami hanya tiga bulan saja iaitu dari April hingga Jun dan perlu bayaran semula bermula Julai lalu, yang mana keadaan ini beza dengan sektor perbankan di bawah Bank Negara apabila moratorium dilanjutkan sehingga Mac depan atau ke suatu tempoh munasabah.

"Soalnya, bagaimana kami hendak membayar sedangkan sekarang, kami tidak ada pendapatan langsung kerana Covid-19 dan simpanan kami juga sudah habis," katanya ketika ditemui pada perhimpunan itu.

AHLI Gabungan Persatuan Bas Persiaran Zon Utara meminta kerajaan campur tangan berhubung morotorium dengan syarikat kredit ketika berkumpul secara aman di Stadium Batu Kawan di sini. FOTO Danial Saad
AHLI Gabungan Persatuan Bas Persiaran Zon Utara meminta kerajaan campur tangan berhubung morotorium dengan syarikat kredit ketika berkumpul secara aman di Stadium Batu Kawan di sini. FOTO Danial Saad

Jelasnya, lebih parah lagi apabila hampir semua daripada 80 pengusaha bas itu menerima pelbagai notis dan surat mahkamah sejak beberapa bulan lalu yang mewakili tuntutan daripada syarikat kredit selaku pemberi pinjaman.

"Ada pengusaha berdepan masalah bas mereka ditarik balik jika tunggakan tidak diselesaikan," katanya.

Sementara itu, seorang pengusaha, S Jega, 44, berkata, ketika ini basnya tidak bergerak disebabkan perintah kawalan pergerakan yang dikenakan malah, dia juga terpaksa mengurangkan pekerja daripada 13 orang kepada enam orang sahaja.

Katanya, dia mempunyai 13 bas persiaran dan empat daripada masih berhutang dengan ansuran bulanan mencecah RM40,000.

"Sejak Julai lalu saya sukar nak bayar sebab tidak boleh pusing modal, bas tidak bergerak dan simpanan juga sudah habis," katanya yang memberitahu langkah menjual bas juga bukan tindakan bijak dalam tempoh sekarang.

Bagi pengusaha bas, Mahadi Izady Maharazi, 40-an, dia berharap kerajaan berbincang dengan syarikat kredit yang di bawah kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung tuntutan mereka, memandangkan krisis itu di luar jangka.

"Dulu perniagaan ini juga pernah terjejas disebabkan penyakit SARS, namun tidak lama iaitu tiga ke empat bulan sahaja, tidak seperti Covid-19 ini yang hampir setahun namun masih belum berakhir." katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 4:21 PM