Rosol hadir  pada Mesyuarat Agung Pertubuhan Pengusaha Bas Anak Terengganu Tahun 2021 di BO' Cafe Awok Iter, Dataran Austin, Gong Badak. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Rosol hadir pada Mesyuarat Agung Pertubuhan Pengusaha Bas Anak Terengganu Tahun 2021 di BO' Cafe Awok Iter, Dataran Austin, Gong Badak. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Hanya kira-kira 25 peratus daripada lebih 1,000 syarikat bas membuat permohonan penstrukturan semula dengan institusi perbankan dan syarikat kredit untuk mengurangkan beban ansuran sewa beli kenderaan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, sebanyak 74.77 peratus lagi tidak membuat permohonan penstrukturan semula bayaran ansuran bulanan bas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19 itu.

Menurutnya, pengusaha bas diseru meningkatkan kerjasama untuk menikmati bantuan dan kemudahan diusahakan kerajaan dengan merujuk serta berbincang bersama institusi kewangan atau syarikat kredit yang terbabit.

"Angka itu masih rendah berbanding masalah kewangan dihadapi pengusaha bas, kita tidak pasti kenapa tidak ramai yang memohon, mungkin maklumat tidak sampai kepada mereka," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Pengusaha Bas Anak Terengganu Tahun 2021 di BO' Cafe Awok Iter, Dataran Austin, Gong Badak di sini, hari ini.

Menurut Rosol, kerajaan sedia maklum dengan keluhan dan kesukaran pengusaha bas menghadapi cabaran ekonomi kesan daripada pandemik Covid-19.

Katanya, kerajaan sudah menyediakan beberapa inisiatif dan kemudahan untuk membantu meringankan beban hutang sewaan dan kelangsungan perniagaan mereka.

"Kementerian ada menerima keluhan daripada Sekretariat Gabungan Bas Malaysia (SGBM) mengenai pengusaha bas yang dihimpit masalah kewangan akibat penularan pandemik Covid-19 dan berusaha menyediakan bantuan perundangan bagi meringankan bebanan pembiayaan bas dan hutang sewaan akibat terkesan dengan pandemik Covid-19.

"Prihatin dengan beban ditanggung menyebabkan kerajaan mewartakan Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 (Akta 829) bagi membantu mereka yang terbabit di bawah Akta Sewa Beli 1967.

"Jadi, KPDNHEP melalui Jabatan Perdana Menteri (JPM) melanjutkan tempoh perundangan berkenaan melalui Perintah Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) (Pelanjutan Kuat Kuasa) 2021 bermula April sehingga Jun depan," katanya.

Menurutnya, pengusaha bas yang terjejas diminta mengambil peluang tawaran moratorium dan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan bagi mengurangkan bebanan kewangan ditanggung mereka.

"Institusi perbankan dan syarikat kredit masih terbuka untuk berbincang dengan pengusaha bas yang terbabit untuk menstruktur semula bayaran ansuran pinjaman bas mereka, jadi kita harap ambillah peluang ini," katanya.

Rosol berkata, terdapat dua bank komersial dan 16 syarikat kredit dikenal pasti terbabit dengan pinjaman sewa beli bas.

"Daripada data yang diperoleh, bank sudah meluluskan permohonan penstrukturan semula bayaran kepada 10 pengusaha bas, manakala syarikat kredit pula meluluskan 195 permohonan pengusaha bas," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 2:03 PM