FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Permintaan tiket bas ekspres dijangka meningkat menjelang hujung minggu ini susulan kebenaran rentas negeri Isnin lalu.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa), Mohamad Kaharrudin Salleh berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima pihaknya optimis permintaan akan semakin baik.

Menurutnya, maklum balas diterima daripada syarikat bas juga sangat positif dan ternyata memberi kelegaan.

"Apabila tiket terjual ini bermakna perniagaan juga berfungsi walaupun masih belum rancak sepenuhnya.

"Pengumuman kebenaran rentas negeri ini sememangnya memberi kelegaan kepada pengusaha bas yang sudah lebih setahun buntu," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, di sebalik kerancakan kembali industri pengangkutan awam, syarikat bas ekspres tetap diingatkan untuk terus menitikberatkan aspek keselamatan dan kesihatan.

Katanya, pemandu dan kakitangan yang terbabit dalam operasi perlu lengkap dua dos vaksin yang bukan saja boleh memberi keyakinan kepada penumpang malah memberi kesan positif kepada industri agar tidak wujud kluster baharu.

"Penumpang juga perlu memainkan peranan dan memastikan mereka mematuhi arahan kerajaan khususnya membabitkan suntikan vaksin lengkap sebelum menaiki kenderaan awam.

"Perniagaan mula positif dan diharap ia berpanjangan kerana banyak syarikat yang perlu masa yang panjang untuk pulih semula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 4:10 PM