GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Pengusaha bas ekspres berharap ada sinar menanti apabila rentas negeri dan daerah diberikan kerajaan dalam masa terdekat.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) Mohamad Kaharrudin Salleh berkata, pengumuman awal Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin baru-baru ini diharap dalam direalisasikan segera.

Menurutnya, pengusaha kini terus buntu apabila bas tidak dapat digunakan secara cekap walaupun ansuran perlu dibayar tanpa gagal.

"Jika kebenaran rentas negeri dibenarkan kelak kami akan pastikan pemandu dan pekerja semua sudah lengkap divaksin.

"Ia bukan saja meningkatkan keyakinan penumpang malah menjamin kesihatan dan mengurangkan risiko penularan Covid-19," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, bas ekspres juga diharap dapat digunakan dengan kapasiti penuh penumpang.

Katanya, tempat duduk penumpang dan ruang simpanan barangan akan disanitasi terlebih dulu bagi memastikan ia bebas dari virus.

"Sukar jika beroperasi dengan kapasiti separuh penumpang kerana ia menggunakan modal bahan api dan tol yang sama namun kutipan tiket terhad.

"Kerajaan diharap dapat mempertimbangkan kebenaran ini kerana kini industri pengangkutan awam bas masih belum dapat beroperasi sepenuhnya," katanya.

Pengumuman kebenaran rentas negeri mungkin akan dibuat dalam masa terdekat selepas mendapat pertimbangan sewajarnya dari kerajaan.

Ia sudah pasti merancakkan industri pengangkutan awam seperti bas yang sudah hampir dua tahun lumpuh disebabkan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 3:30 PM