Antara puluhan bas ekspres yang tersadai. FOTO ARKIB NSTP
Antara puluhan bas ekspres yang tersadai. FOTO ARKIB NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Pembukaan sempadan negeri bukan saja memberi kelegaan kepada syarikat bas ekspres malah ia turut menyelamatkan ribuan pekerja sektor itu.

Dianggarkan lebih 2,000 pekerja termasuk pemandu, mekanik dan kakitangan pentadbiran syarikat bas kini kembali bekerja.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) Mohamad Kaharrudin Salleh berkata, kebenaran rentas negeri membolehkan lebih 20 syarikat di bawah persatuan itu kembali beroperasi.

Katanya, ini secara tidak langsung memberikan nafas semula kepada pengusaha memanggil pekerja untuk meneruskan operasi.

"Sejak lebih setahun lalu, operasi tidak menentu dan ada masanya tidak beroperasi terus menyebabkan syarikat berdepan kesukaran membayar gaji pekerja.

"Daripada syarikat yang menjadi ahli, dianggarkan lebih 2,000 pekerja mencari rezeki dan menyara hidup dengan syarikat bas ekspres dalam pelbagai bidang," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, bagi memastikan operasi berjalan lancar dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), semua pekerja perlu lengkap divaksin Covid-19 terlebih dulu.

Katanya, ini penting untuk mengurangkan risiko jangkitan dalam komuniti itu termasuk penumpang yang menggunakan perkhidmatan.

"Semua pihak perlu memainkan peranan penting agar sektor ini boleh bergerak semula dan mereka yang bekerja tidak lagi terjejas.

"Tempoh lebih setahun ini cukup memeritkan dan diharap semua kembali pulih secepat mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 3:39 PM