Foto hiasan
Foto hiasan
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Sabah turut mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan sejak akhir bulan lalu dengan memendekkan operasi semua jenis perniagaan sehingga 9 malam bermula esok.

Bagaimanapun, jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, operasi restoran termasuk restoran di hotel dibenarkan bermula pada 6 pagi hingga 10 malam.

Menurutnya, antara premis yang ditetapkan beroperasi bermula 6 pagi hingga 9 malam adalah kedai dan gerai makan, pusat beli-belah, pasar raya besar, kedai runcit, kedai serbaneka dan dobi layan diri.

Katanya, turut disenaraikan kedai gunting rambut, salun, kedai kecantikan dan perkhidmatan spa, refleksologi, urut dan 'wellness' serta pusat cuci kenderaan dengan memastikan pematuhan SOP sedia ada.

"Bagi bilangan pengunjung di pusat beli-belah, pasar raya besar, pasar raya, pasar mini, kedai runcit dan sebagainya, pihak berkuasa tempatan (PBT) dikehendaki menetapkan bilangan maksimum pengunjung.

"Ketetapan yang dibuat kerajaan adalah 50 peratus daripada kapasiti ruang dengan mengambil kira 200 kaki persegi bagi setiap pelanggan selain tidak lebih sejam berada dalam premis," katanya dalam satu kenyataan media di sini, malam tadi.

Sebelum ini, operasi perniagaan di Sabah dibenarkan bermula pada 6 pagi sehingga 12 tengah malam dengan mengekalkan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dilaksanakan pada bulan lalu.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, perubahan SOP itu diumum lebih awal sebagai peringatan kepada peniaga untuk mematuhi sepenuhnya ketetapan baharu itu.

Perubahan waktu operasi perniagaan di seluruh Sabah itu selaras dengan langkah Kerajaan Pusat mengetatkan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di semua negeri di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan termasuk mengehadkan operasi perniagaan sehingga 8 malam bermula esok.

Sementara itu, Masidi berkata, sebanyak 136 kes baharu positif Covid-19 dicatatkan di Sabah semalam dengan dua kes kematian masing-masing satu di Lahad Datu dan Putatan, manakala satu kluster baharu direkodkan di Kota Kinabalu.

Menurutnya, Kluster Jalan Mangga itu tercetus melalui sambutan majlis hari jadi di Jalan Mangga di sini, pada 13 Mei lalu.

"Kes indeks adalah seorang lelaki berusia 69 tahun dari Kionsom, Inanam. Dia mengalami gejala demam sebelum disahkan positif Covid-19 melalui saringan RTK-Antigen di klinik swasta.

"Susulan kes itu, saringan kontak mendapati 13 lagi kes positif membabitkan ahli keluarga dan generasi kedua menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 14 kes," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 8:50 AM