BOMBA mengangkat lelaki yang meninggal dunia selepas pengsan ketika beriadah di Bukit Wawasan, Puchong, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA mengangkat lelaki yang meninggal dunia selepas pengsan ketika beriadah di Bukit Wawasan, Puchong, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Muhaamad Hafis Nawawi


Puchong: Lelaki seberat 130 kilogram meninggal dunia selepas pengsan ketika beriadah di Bukit Wawasan, di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima laporan itu pada 10.49 pagi dan tiba di lokasi sembilan minit kemudian.

Menurutnya, seramai dua pegawai dan tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong ke lokasi kejadian.

"Seorang lelaki, Kuan Wee Siong, 28, pengsan ketika beriadah bersama dua rakannya.

"Bomba kemudian melakukan kerja-kerja membawa turun mangsa dan sebaik tiba di bawah jam 2.48 petang lelaki terbabit disahkan meninggal dunia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Norazam berkata, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Februari 2022 @ 5:58 PM