Bukit di Pulau Mawar.
Bukit di Pulau Mawar.
BERNAMA

Johor Bahru: Seorang wanita terpaksa menahan sakit kira-kira tiga jam sebelum diselamatkan selepas terjatuh ke dalam gaung sedalam 20 meter ketika mendaki sebuah bukit di Pulau Mawar, Tanjung Resang, Endau, dekat Mersing pagi tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Endau, Asrul Ahmad berkata, mangsa berusia 51 tahun berkenaan dipercayai patah kaki kiri akibat kejadian itu.

Katanya, mangsa dikatakan mula mendaki bukit itu bersama 11 rakannya pada jam 7 pagi dan ditemani seorang malim gunung.

"Ketika mendaki, mangsa tiba-tiba terjatuh. Mangsa cuba diselamatkan oleh rakan-rakannya namun gagal, sebelum akhirnya mereka menghubungi bomba pada 8.36 pagi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Asrul berkata, pihaknya menghantar seramai 12 anggota bersama dua jentera ke lokasi kejadian sejurus mendapat maklumat kejadian.

"Bomba berdepan beberapa kesukaran untuk mengeluarkan mangsa kerana keadaan lokasi kejadian curam dan perlu melalui kawasan paya bakau.

"Bomba mencuba beberapa kaedah untuk mengeluarkan mangsa termasuk menggunakan alat pengusung dan rentetan itu, mangsa akhirnya dapat dikeluarkan dari gaung pada jam 11.14 pagi dan diserahkan kepada pihak hospital untuk rawatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 5:20 PM