SEBAHAGIAN penunggang dari kumpulan motosikal jenis Yamaha 15ZR yang ditahan polis dalam Op Rentas dan Op Samseng Jalanan di hadapan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Jalan Tok Guru, di sini. FOTO ihsan PDRM
SEBAHAGIAN penunggang dari kumpulan motosikal jenis Yamaha 15ZR yang ditahan polis dalam Op Rentas dan Op Samseng Jalanan di hadapan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Jalan Tok Guru, di sini. FOTO ihsan PDRM
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Sanggup mengambil risiko merentas daerah semata-mata mahu menyertai kumpulan motosikal menyebabkan empat lelaki ditahan di hadapan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), di sini, semalam.

Mereka berusia 18 hingga 28 tahun itu ditahan dalam Op Rentas dan Op Samseng Jalanan kira-kira 6 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, empat lelaki itu datang dari daerah Pasir Mas menerusi laluan tikus bagi mengelak dari ditahan pihak berkuasa di sekatan jalan raya.

"Kesemuanya yang menunggang motosikal Yamaha 15ZR memberi alasan ingin bersiar-siar di sekitar Kota Bharu bersama kumpulan motosikal mereka.

"Akibat itu, mereka dikenakan kompaun atas kesalahan merentas daerah tanpa kebenaran mengikut Peraturan 4(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Operasi dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu diketuai Asisten Superintendan Ahmad Adnan Mohamad bersama dua pegawai serta 16 anggota bermula 5 petang hingga 12 tengah malam tadi.

Abdul Rahim berkata, seramai 205 individu termasuk 75 wanita diperiksa membabitkan 175 kenderaan dan sebanyak 185 saman dikeluarkan manakala tujuh kenderaan disita kerana tidak mengikut spesifikasi.

Katanya, semua yang ditahan bersama motosikal masing-masing dibawa balik ke IPD Kota Bharu untuk tindakan lanjut.

"Dalam operasi sama, seorang penjual buah berusia 26 tahun ditahan kerana memiliki 0.4 gram syabu.

"Suspek yang menunggang motosikal Yamaha 15ZR ditahan ketika berhenti di bahu jalan dan cuba melarikan diri serta berlaku pergelutan.

"Pemeriksaan di tubuh lelaki itu menjumpai satu peket kecil lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah di dalam poket seluar dipakai suspek," katanya memaklumkan kes disiasat mengikut Sekyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 2:32 PM