PIL yaba yang dirampas polis milik dua pembantu kedai makan. Gambar hiasan.
PIL yaba yang dirampas polis milik dua pembantu kedai makan. Gambar hiasan.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Polis menahan dua pembantu kedai makan dan merampas lebih 1,000 pil yaba atau turut dikenali sebagai pil kuda dalam serbuan di Taman Kampung Teluk Panji, Kota Bharu, Kelantan, kelmarin.

Serbuan jam 3 petang itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu hasil risikan dan maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, suspek pertama berusia 25 tahun ditahan di tepi jalan dan hasil pemeriksaan ke atas badannya menemui satu tiub straw warna biru berisi sebiji pil yaba disembunyikan di dalam poket hadapan seluar.

Katanya, hasil siasatan, lelaki itu membawa pihak polis ke sebuah rumah dan suspek menunjukkan satu beg galas warna hitam yang terletak di atas lantai di bahagian ruang tamu.

“Siasatan lanjut menemui lima paket plastik berwarna biru berisi 1000 biji pil yaba.

“Pihak polis merampas kesemua barangan yang ditemui termasuk satu pasport dipercayai milik suspek pertama.

“Ketika polis masih berada di rumah itu, muncul seorang lelaki menunggang motosikal Yamaha LC dan polis berjaya menahannya.

“Hasil pemeriksaan menemui di dalam poket hadapan sebelah kanan seluar dipakai suspek kedua menemui 100 biji pil yaba,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati dua lelaki itu memiliki rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis Methamphetamine.

Menurutnya, mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A (1) dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 5:57 PM