DADAH dan wang tunai yang dirampas. FOTO ihsan polis
DADAH dan wang tunai yang dirampas. FOTO ihsan polis
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Cemas dikejar pihak berkuasa, seorang lelaki bertindak melompat dari motosikal yang ditunggangnya sebelum berlari dan memasuki sebuah rumah secara rambang di Padang Tembak, Pengkalan Chepa di sini, petang semalam.

Dalam kejadian 6.30 petang itu, suspek yang menyorok di dalam tandas bagaimanapun berjaya ditahan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kota Bharu yang sedang menjalankan rondaan terserempak dengan lelaki itu di persimpangan lampu isyarat.

"Lelaki menunggang Yamaha 150ZR itu kelihatan mencurigakan dan anggota mengarahkan dia berhenti.

"Bagaimanapun suspek bertindak melompat dari motosikal dan memasuki rumah berdekatan sebelum menyorok dalam tandas.

"Suspek berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan menemui sembilan paket lutsinar mengandungi 18 gram syabu, tujuh biji pil eramin 5 dan 214 biji pil kuda serta serangkai tiub straw," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata, turut dirampas wang tunai berjumlah RM222 dan semua rampasan dianggarkan bernilai RM4,100.

Menurutnya, hasil ujian saringan terhadap suspek yang juga buruh kasar didapati positif methampethamine.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39(A1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12 (2) ADB 1952 serta Seksyen 15 (1) ADB 1952 dan suspek akan dibawa ke mahkamah pagi ini untuk mendapatkan perintah tahanan bagi siasatan lanjut.

"Sebanyak lapan saman turut dikeluarkan terhadap suspek atas kesalahan lalu-lintas dan spesifikasi motosikal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 11:00 AM