WARUNG Dolah Pindah yang diusahakan dua beradik menyediakan makanan percuma. FOTO Ihsan Syed Azhar Syed Nadzir
WARUNG Dolah Pindah yang diusahakan dua beradik menyediakan makanan percuma. FOTO Ihsan Syed Azhar Syed Nadzir
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Dua beradik di Sentul di sini, mengambil inisiatif menyediakan makanan percuma bagi membantu meringankan beban orang ramai yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

Restoran diberi nama Warung Dollah Pindah diusahakan Syed Agil Syed Nadzir, 57, dan adiknya, Syed Azhar Syed Nadzir, 49, itu menyediakan makanan percuma kepada sesiapa sahaja tanpa mengira status.

Syed Agil berkata, mereka merancang melakukan kerja amal itu sejak sekian lama dan mula direalisasikan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, awal tahun ini.

"Apabila Covid-19 melanda negara, ramai yang susah. Tambah pula restoran kami beroperasi di kawasan B40, jadi dapat lihat kemiskinan bandar itu berlaku termasuk hilang pekerjaan.

"Mengambil idea daripada kedai kopi di negara Eropah yang memberikan minuman kopi percuma kepada individu memerlukan, kami buat di sini, tapi dengan kelainan iaitu memberi makanan sesuai dengan rakyat Malaysia," katanya kepada Harian Metro.

Syed Agil berkata, sebelum ini mereka lebih banyak menghantar makanan ke masjid dan kepada anggota barisan hadapan yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) sekitar Kuala Lumpur.

Beliau berkata, bermula 1 Ramadan lalu baru mereka memberikan makanan percuma untuk berbuka puasa di restoran itu.

WAKIL Warung Dolah Pindah menyerahkan makanan percuma kepada anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) di sekitar Kuala Lumpur. FOTO Ihsan Syed Azhar Syed Nadzir
WAKIL Warung Dolah Pindah menyerahkan makanan percuma kepada anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) di sekitar Kuala Lumpur. FOTO Ihsan Syed Azhar Syed Nadzir

"Kami bermula dengan kira-kira tujuh set makanan yang berharga RM20.

"Alhamdulillah, jumlahnya bertambah setiap hari sehingga pernah menyediakan 30 set makanan percuma disebabkan ada rakan dan pelanggan turut menyumbang selepas mengetahui inisiatif kami lakukan ini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak menetapkan jumlah sumbangan, sebaliknya sesiapa saja boleh menyumbang daripada serendah RM5 sehingga ada yang memberi ribuan ringgit untuk disediakan makanan percuma kepada individu memerlukan.

Menurutnya, pemberian makanan percuma di restorannya itu akan diteruskan kerana masih ramai memerlukan.

Katanya, individu yang memerlukan makanan boleh berkunjung ke restorannya setiap hari dan ia diberikan tanpa mengira agama, bangsa serta status.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 6:45 AM