Nor Fazlina Abdul Rahim

Jeli: Kompaun RM10,000 yang berkuat kuasa 11 Mac ini hanya dikenakan terhadap individu yang melakukan kesalahan berulang dan kesalahan yang boleh mencetuskan penularan wabak Covid-19.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kenaikan kompaun berkenaan bukan dikenakan bagi kesemua kesalahan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, polis akan mengeluarkan tawaran kompaun berkenaan berdasarkan rekod yang mereka ada.

"Kita akui ramai yang salah faham dan bimbang dengan jumlah kompaun sehingga RM10,000. Namun ia bukan dikenakan kepada semua kesalahan.

"Sebaliknya untuk kesalahan tertentu iaitu mereka yang degil dengan melakukan kesalahan berulang serta mereka yang melanggar SOP termasuk rentas negeri sehingga menyebabkan penularan Covid-19.

"Namun, individu yang dikenakan kompaun RM10,000 itu boleh membuat rayuan untuk pengurangan kompaun kepada Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya.

ANGGOTA polis IPD Gombak bersama ATM membuat Sekatan Jalan Raya (SJR)  dan memeriksa dokumen perjalanan pemandu susulan kelonggaran diberikan kepada ibu bapa untuk merentas daerah dan negeri untuk menghantar anak ke asrama atau sekolah. FOTO Khairul Azhar Ahmad.

Beliau berkata demikian ketika melawat tapak pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2021 @ 1:15 PM