Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Polis Kuala Lumpur melaksanakan sembilan sekatan jalan raya (SJR) sempena Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 di Kuala Lumpur yang bermula semalam.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo berkata, SJR bermula pada 8 pagi di sembilan lokasi itu dilakukan di Jalan Sentul Pasar; hadapan Balai Polis Kepong; Lebuh Raya Persekutuan menghala Kuala Lumpur dan Jalan Klang Lama.

Menurutnya, lima lagi SJR adalah di Jalan 2/27A Wangsa Melawati; Jalan 1/91 Taman Shamelin Perkasa; Lebuh Raya Bukit Jalil; Jalan Tol Duta menghala ke Kuala Lumpur dan Jalan Tol Sungai Besi menghala ke Kuala Lumpur.

"Selain SJR, kita juga akan mempertingkatkan pemantauan dan rondaan oleh unit kereta peronda (MPV) serta unit rondaan bermotosikal (URB) bagi memastikan penguatkuasaan PKP di Kuala Lumpur adalah secara komprehensif," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Lei Choo berkata, orang ramai disaran supaya mematuhi segala arahan dan prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0 serta memberikan kerjasama kepada pihak polis supaya dapat mendatarkan lengkuk penularan wabak Covid-19.

Selain itu katanya, orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan pergerakan dan hanya berbuat demikian jika perlu demi kesihatan diri, keluarga serta kesejahteraan masyarakat.

Anggota polis membuat Sekatan Jalan Raya (SJR) di Lingkaran Syed Putra (Federal Highway), Kuala Lumpur. FOTO AZHAR RAMLI
Anggota polis membuat Sekatan Jalan Raya (SJR) di Lingkaran Syed Putra (Federal Highway), Kuala Lumpur. FOTO AZHAR RAMLI

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 3:52 PM