ANGGOTA polis memeriksa rumah sekitar daerah Kulim untuk memastikan tiada aktiviti menziarah. FOTO ihsan polis
ANGGOTA polis memeriksa rumah sekitar daerah Kulim untuk memastikan tiada aktiviti menziarah. FOTO ihsan polis
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Polis melakukan lawatan dan pemeriksaan pematuhan COVID-19 di 142 rumah di taman perumahan di sekitar kawasan di daerah ini sempena Hari Raya Aidilfitri pada hari pertama dan kedua hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, 89 rumah dilawati manakala 53 rumah diperiksa untuk memastikan tiada aktiviti ziarah atau tetamu yang melebihi jumlah yang ditetapkan.

Beliau berkata, ia meliputi kawasan perumahan di Balai Polis Lunas, Balai Polis Kulim Hi-Tech dan Balai Polis Kulim.

"Secara keseluruhan rumah yg dilawati memang mengikut Prosedur Operasi Standart (SOP) yang sepatutnya dan tidak ada aktiviti ziarah malah pemeriksaan juga mendapati jumlah yang berada dalam rumah mengikut jumlah yang sepatutnya.

"Nasihat turut diberi kepada pemilik rumah yang dilawati supaya sentiasa patuh berkaitan SOP dan kebanyakkan penghuni rumah faham dan memberi kerjasama yang baik sepanjang lawatan dan pemantauan yg dilakukan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azhar berkata, setakat ini tiada sebarang kompaun dikeluarkan terhadap kesalahan pelanggaran SOP berkaitan ziarah antara rumah ke rumah yg mmg tidak dibenarkan.

Beliau berkata, pihak IPD Kulim akan menjalankan pemeriksaan berterusan di kawasan taman perumahan dan kampung supaya SOP dipatuhi sepenuhnya oleh masyarakat di daerah Kulim.

"Ia bertujuan untuk mengekang penularan jangkitan Covid-19 dan berharap supaya orang ramai mematuhi arahan yang ditetapkan ketika perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Mei 2021 @ 3:15 PM