DAUN dan air ketum yang dirampas. FOTO Ihsan Polis.
DAUN dan air ketum yang dirampas. FOTO Ihsan Polis.
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Malang buat seorang lelaki apabila ditahan polis ketika baru selesai membungkus air ketum, di Kampung Sidam Kanan, Padang Serai, di sini, semalam.

Lelaki berusia 38 tahun itu dikatakan baru membungkus air ketum berkenaan susulan permintaan daripada pelanggan.

Serbuan dilakukan selepas pihak polis menerima maklumat berhubung kegiatan lelaki itu dalam operasi Op Tapis.

Dia dipercayai melakukan kegiatan itu seorang diri di rumah berkenaan dan mampu meraih keuntungan berlipat ganda dengan hasil menjual air ketum berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, serbuan dilakukan jam 2.10 petang semalam oleh sepasukan enam anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dilakukan dalam rumah itu menemui 175 bungkusan plastik lutsinar disyaki air ketum dianggarkan sebanyak 105 liter.

"Turut dirampas dua plastik hitam berisi daun ketum, sebuah periuk besar, sebuah dapur gas dan sebuah tong gas.

"Berikutan itu, lelaki itu dibawa ke pejabat Narkotik di IPD Kulim untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhar berkata, lelaki itu menetap di Taman Ria, Padang Serai, di sini dan tidak bekerja.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, suspek dipercayai melakukan kegiatan itu sejak tahun lalu kerana mampu mengaut keuntungan lumayan.

"Nilai air ketum yang dirampas adalah sebanyak RM1,500.

"Siasatan juga mendapati, suspek tidak mempunyai rekod tangkapan sebelum ini dan ditahan untuk siasatan," katanya.

Azhar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Beliau berkata, pihaknya akan mempergiatkan lagi risikan dan tangkapan peniaga air ketum di sekitar daerah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 8:28 AM